Gempa bumi di New Zealand ancam sektor pelancongan

Gempa bumi di New Zealand ancam sektor pelancongan

KAIKOURA – Gegaran gempa bumi sekuat 7.8 magnitud yang terjadi di New Zealand awal bulan ini bukan sahaja mengorbankan dua nyawa namun secara geografi beberapa buah kawasan jalan raya, gunung dan tebing sungai juga turut menerima kesan perubahan yang secara tidak langsung turut mengancam sektor pelancongan, pertanian dan kehidupan masyarakat setempat.

Secara keseluruhan, ia adalah gegaran gempa bumi yang cukup kuat di mana ia turut menaikkan keseluruhan bahagian dasar laut dan meruntuhkan kawasan gunung sehingga menghalang laluan Lebuh raya State One yang merupakan laluan utama kepada para pelancong untuk menuju ke selatan yang merupakan bandar Picton di mana ia terkenal sebagai lokasi popular untuk melihat ikan paus dengan menggunakan bot.

“Keadaan lebuh raya sangat teruk sehingga ia tidak dapat diakses dan begitu juga dengan keadaan gunung yang jelas berubah berikutan daripada kesan gempa bumi tersebut,” jelas Perdana Menteri, John Key.

Perubahan geologi di kawasan pantai timur laut Pulau Selatan setentunya akan memberi kesan kepada penduduk tempatan dan sektor pelancongan memandangkan jumlah kedatangan pelancong pada kebiasaannya meningkat dari bulan Disember sehingga Februari.

Daerah yang terletak di kawasan Selatan Pasifik itu memiliki jumlah penduduk kurang daripada lima juta orang dan biasanya menerima kehadiran seramai tiga juta orang setiap tahun.

Perdana Menteri New Zealand, John Key (kanan depan) bergambar ramai dengan penduduk Kekerengu yang turut terkesan akibat daripada gempa bumi yang berlaku awal bulan ini.
Perdana Menteri New Zealand, John Key (kanan depan) bergambar ramai dengan penduduk Kekerengu yang turut terkesan akibat daripada gempa bumi yang berlaku awal bulan ini.
Laluan jalan raya yang tersekat berikutan daripada kesan gempa bumi yang berlaku di New Zealand.
Laluan jalan raya yang tersekat berikutan daripada kesan gempa bumi yang berlaku di New Zealand.

Kenyataan rasmi menyatakan bahawa beberapa buah bandar raya di New Zealand tetap berada di dalam keadaan selamat memandangkan ia terletak jauh daripada pusat gempa itu.

Bagaimanapun ia setentunya menjadi bebanan kepada penduduk di sekitar kawasan Pulau Selatan apabila mereka terpaksa melalui laluan di kawasan pedalaman yang lebih jauh.

Pihak berkuasa bahagian pengangkutan juga menyatakan bahawa pengguna jalan raya di kawasan pedalaman itu meningkat sebanyak empat kali ganda berbanding sebelum ini.

Walaupan struktur jalan raya di kawasan tersebut berpotensi untuk dipulihkan namun masa depan untuk aktiviti memerhati ikan paus yang menjadi tarikan kepada pelancong di Kai Koura setentunya terancam berikutan daripada keadaan dasar laut yang berubah.

Perubahan pada dasar laut itu telah menyebabkan lebih banyak bongkahan batu mula membuat kemunculan di permukaan laut sekaligus menyukarkan lagi laluan bot peranginan yang merupakan pengangkutan utama untuk aktiviti persiaran tersebut.

Pengurus Besar Aktiviti Memerhati Ikan Paus Kaikoura, Kauahi Ngapora menjelaskan bahawa pilihan yang dapat dilakukan adalah untuk melakukan aktiviti pengorekan di dasar laut atau membina kawasan tambak secara sementara bagi mendapatkan keadaan air yang lebih dalam.

Penduduk yang menetap di sekitar kawasan yang terjejas oleh gempa bumi itu menyedari bahawa proses pembaikpulihan boleh berlangsung selama beberapa bulan atau tahun.

Bagi para petani di bandar Kekerengu, bencana alam tersebut secara tidak langsung telah memutuskan perhubungan dengan kawasan di daerah selatan di mana mereka terpaksa menambah jumlah perbelanjaan dan masa bagi menghantar hasil pertanian untuk dijual.

Masa depan Kaikoura sebagai salah satu tarikan pelancongan di New Zealand jelas cukup terancam.
Masa depan Kaikoura sebagai salah satu tarikan pelancongan di New Zealand jelas cukup terancam.

Bagaimanapun James Moore, seorang petani di kawasan berdekatan menjelaskan bahawa ada juga beberapa orang penduduk yang merasa lega dengan kesan yang berlaku daripada gempa bumi apabila mereka berpeluang untuk hidup dengan lebih tenteram tanpa diganggu oleh bunyi bising yang dikeluarkan daripada pengangkutan seperti kereta dan kereta api.

Apabila Perdana Menteri itu melakukan lawatan di kawasan yang terjejas, ramai penduduk yang menggesa agar pihak berkuasa untuk bertindak bagi membaik pulih dan membersihkan jalan raya bagi memudahkan sistem perhubungan.

Bagaimanapun, perdana menteri itu menjelaskan bahawa beliau harus lebih berfikiran realistik dan turut menambah bahawa langkah pemuliharaan di Kaikoura juga wajar untuk terus dilaksanakan.

Penduduk tempatan juga telah mula melancarkan kempen secara online bagi mengumpulkan dana untuk membiayai kos pemuliharaan kawasan yang terjejas oleh gempa bumi tersebut.

Malah penduduk tempatan juga berasa gembira kerana berkesempatan untuk menemui Key dan dengan kehadiran perdana menteri tersebut jelas memperlihatkan bahawa pihak kerajaan juga tetap mengambil perhatian terhadap masalah yang dihadapi oleh penduduk negara itu.

“Saya berasa sangat teruja dengan lawatan yang dilakukan oleh perdana menteri dan jelas sangat menghargai usaha yang beliau laksanakan sehingga berasa seolah-olah berhasrat untuk memeluknya,” jelas Helen Beattie, salah seorang penduduk di sekitar kawasan tersebut. – AP