Gempa bumi di Sulawesi turut dirasai penduduk Sabah

KOTA KINABALU, 10 Jan – Sebahagian besar penduduk Sabah turut merasai gegaran gempa bumi berukuran 7.3 pada skala Richter yang berlaku di Wilayah Utara, Sulawesi Tengah, Indonesia petang tadi.

Gegaran yang dilaporkan berlaku kira-kira 2:13 petang itu turut dirasai oleh mereka yang berada di sini, Semporna, Lahad Datu, Sandakan, Tawau dan Beluran.

Seorang penjawat awam yang hanya mahu dikenali sebagai Noami berkata ketika itu beliau sedang bekerja di Tingkat Tiga, Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini.

“Saya melihat komputer di hadapan saya sedang bergoyang dan saya kemudiannya berasa pening. Gegaran boleh dirasai kira-kira 10 saat.

“Selepas gegaran, saya terus bergegas keluar dari pejabat. Saya diberitahu pekerja lain turut merasai gegaran itu,” katanya.

Sheila Yong pula berkata ketika itu beliau berada di Hospital Queen Elizabeth 1.

“Saya berada di dalam lif untuk ke Tingkat Lapan untuk melawat kawan saya. Apabila merasa gegaran saya te-rus panik dan menekan butang lif untuk pergi ke tingkat bawah.

“Apabila sampai di tingkat bawah, saya melihat orang ramai sedang berkumpul. Ada juga yang berlari keluar dari bangunan hospital,” katanya.

Di Semporna, seorang penjawat awam Mahathir Lahadi merasai gegaran kira-kira 2:20 petang.

“Ketika gegaran saya berada di dalam pejabat,” katanya.

Seorang guru Aslina Ali, 30, berkata beliau dapat merasakan gegaran selama 10 saat ketika berada di kawasan perumahan Sekolah Menengah Kebangsaan Tagasan.

“Ketika kejadian saya baru pulang dari sekolah dan sedang beristirahat. Kemudiannya saya menelefon rakan saya yang berkata dia turut merasa gegaran itu,” katanya.

Di Lahad Datu, seorang pekerja swasta, Labai Lasidi, 24, merasai dua kali gegaran.

“Tapi gegarannya berlaku sekejap-sekejap,” katanya.

Di Sandakan, kakitangan yang bertugas di Bangunan Persekutuan diarahkan mengosongkan pejabat. – Bernama