Gempa bumi gegar Oklahoma

Gempa bumi gegar Oklahoma

WASHINGTON, 4 Sept – Gempa bumi kuat telah melanda Oklahoma dengan skala 5.6 magnitud awal semalam, di mana insiden gegaran semakin meningkat di tengah-tengah kepesatan industri pemecahan hidraulik untuk mendapatkan minyak dan gas asli.

Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata gegaran dapat dirasai pada jam 12.02 tengah malam sekitar Pawnee dan gegaran juga dirasai di tujuh negeri, dari Texas hingga ke Iowa.

Datuk Bandar Pawnee, Brad Sewell berkata, setakat ini tiada kebakaran mahupun kecederaan dilaporkan.

“Kita sangat bernasib baik kerana tiada kerosakan teruk dan kecederaan dilaporkan,” katanya kepada Fox News.

Terdahulu, gegaran kecil dengan kekuatan 3.2 magnitud dirasai pada Khamis di kawasan berhampiran.

Seorang pekerja pasar raya, Talia Pershall, 16, menyusun semula barang-barangan yang terjatuh akibat gempa bumi di kedai runcit White’s Foodliner, Sabtu lalu di Pawnee, Oklahoma. – AP
Seorang pekerja pasar raya, Talia Pershall, 16, menyusun semula barang-barangan yang terjatuh akibat gempa bumi di kedai runcit White’s Foodliner, Sabtu lalu di Pawnee, Oklahoma. – AP

“Petugas Suruhanjaya Perbadanan Oklahoma sedang mengkaji telaga pelupusan di sekitar kawasan gempa bumi berhampiran Pawnee,” kata Gabenor Mary Fallin dalam mesej Twitter.

Punca utama kepada gempa bumi yang dicetuskan oleh manusia di banyak tempat di tengah dan timur Amerika Syarikat adalah pelupusan sisa air, menurut laporan USGS yang diterbitkan Mac lalu.

Buat kali pertama, agensi itu juga sudah mula memasukkan gempa bumi yang dicetuskan manusia ke dalam peta ramalannya.

USGS berkata negeri-negeri yang mempunyai risiko aktiviti seismik paling tinggi termasuk Oklahoma, Kansas, Texas, Colorado, New Mexico dan Arkansas. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA