Gempa bumi gegar selatan Mexico

Gempa bumi gegar selatan Mexico

MEXICO CITY, 18 Dis (AFP) – Gempa bumi berukuran 6.4 magnitud menggegar selatan Mexico dan kesan gegaran dapat dirasai di negara jiran, Guatemala, kata pihak berkuasa.

Kajian Geologikal Amerika Syarikat menyatakan, gempa pada kedalaman 97 kilometer itu melanda pada kira-kira jam 1:49 tengah hari waktu tempatan di wilayah Chiapas, kira-kira 11 kilometer ke selatan bandar Tres Picos.

Sehubungan itu, Penyelaras Perlindungan Awam Mexico, Luis Felipe Puente berkata, pegawai negeri dan majlis perbandaran tidak melaporkan sebarang kerosakan ‘buat masa ini.’

Puente menerusi Twitter berkata, gempa bumi dirasai secara ‘sederhana’ di wilayah Oaxaca dan ‘kuat’ di Chiapas dan Tabasco.

Katanya, ‘beberapa kawasan’ di tengah Mexico City turut merasai kesan gegaran berkenaan. Pada awalnya USGS mencatat gempa itu berukuran 6.6 magnitud.