Gempa bumi kuat landa NZ

Gempa bumi kuat landa NZ

WELLINGTON, 4 Mei (AFP) – Satu gempa bumi dengan magnitud 5.6 melanda South Island di New Zealand hari ini dengan pihak berkuasa tempatan berkata ia menggegar bangunan tetapi tidak mengakibat kerosakan serius.

Gegaran melanda pada pukul 2.29 petang pada kedalaman agak cetek 10 kilometer, dengan pusat gempa kira-kira 30 kilometer dari barat laut Wanaka, kata Tinjauan Geologi AS.

Perkhidmatan pengawasan rasmi New Zealand GeoNet menyenarai gempa bumi sebagai “teruk” dan berkata terdapat laporan mengatakan gegaran kuat dari bahagian bawah South Island, tetapi menambah ia berlaku di rantau yang tidak mempunyai penduduk padat.

“Disebabkan jaraknya dari pusat yang mempunyai penduduk padat, ia tidak dijangka memberi kesan teruk,” katanya.

Wartawan Otago Daily Times di Wanaka Lucy Ibbotson berkata bangunan pejabatnya bergegar selama kira-kira 40 saat.

“Kami berasa panik, kekuatan nampaknya meningkat,” tulisnya di laman web akhbar.

Polis Wanaka berkata gempa bumi mengakibat “beberapa tingkap pecah dan tidak ada kejadian yang tidak diingini.”

New Zealand terletak di sempadan dua plat tektonik dan mengalami 15,000 gegaran setahun, kebanyakannya amat kecil sehingga mereka tidak terasa ketara.

ARTIKEL YANG SAMA