Gempa bumi kuat ragut 11 jiwa

Gempa bumi kuat ragut 11 jiwa

IMPHAL, India, 4 Jan (Reuters) – Satu gempa bumi kuat melanda timur laut India dan Bangladesh hari ini, meragut 11 jiwa dan mencederakan hampir 200 orang, dengan usaha masih diteruskan untuk mencapai ke kawasan terpencil tempat orang ramai mungkin terperangkap dan dihambat oleh rangkaian telekomunikasi dan talian kuasa yang teruk.

Tinjauan Geologi AS mengatakan gempa bumi berukuran 6.8 magnitud melanda 29 kilometer (km) di barat Imphal negeri Manipur, bandar India, yang bersempadan dengan Myanmar pada kedalaman 57km.

Gempa bumi awal pagi itu membunuh enam orang di India dan lima di negara jiran Bangladesh, menurut pegawai, sementara gegaran dapat dirasai di negara Nepal, Himalaya dan sejauh bandar Yangon, Myanmar, kira-kira 1,175km ke selatan.

Gempa bumi melanda ketika kebanyakan orang masih lagi nyenyak tidur, sementara bumbung dan tangga beberapa buah bangunan runtuh di Imphal, sebuah bandar yang mempunyai sekitar 270,000 penduduk.

“Rasanya seperti dilambung dalam kuali leper,” kata Joy Thanglian, seorang pekerja berusia 33 tahun di firma tenaga kerajaan, Bharat Petroleum.

Mangsa yang terselamat melihat bangunan runtuh di Imphal pada 4 Januari, selepas gempa bumi kuat berukuran 6.7 melanda timur laut India berhampiran sempadan Myanmar dan Bangladesh. – AFP
Mangsa yang terselamat melihat bangunan runtuh di Imphal pada 4 Januari, selepas gempa bumi kuat berukuran 6.7 melanda timur laut India berhampiran sempadan Myanmar dan Bangladesh. – AFP

Polis dan kakitangan hospital di Imphal mengatakan jumlah kematian telah mencecah enam dengan 100 orang cedera, 33 lagi cedera parah.

Para pegawai di Bangladesh mengatakan lima orang maut akibat serangan jantung ketika mereka menyelamatkan diri daripada bangunan, dan 90 lagi cedera.

Pekerja penyelamat di Imphal menggunakan mesin penggerudian tangan untuk membersihkan runtuhan daripada sebuah bangunan enam tingkat yang masih dalam pembinaan, tapak kerosakan paling teruk di bandar itu.

“Saya tidak dapat merasakan gegaran, namun apabila saya bangun keseluruhan siling runtuh ke atas saya,” kata R.K. Ewansana, pelajar 21 tahun, yang berada di tingkat pertama namun terselamat dengan sebahagian bangunan runtuh di sekelilingnya.

Para penduduk mengatakan ramai orang melarikan diri daripada rumah mereka, talian telekom dan kuasa elektrik terputus di beberapa rantau terpencil.

Di lapangan terbang Imphal, penerbangan seperti biasa, walaupun dinding sempadan runtuh, dan rekahan kelihatan di bangunan terminal, kata Thanglian, yang bekerja di sana.

Beberapa orang mengkritik apa yang mereka gelar tindakan lembap pihak berkuasa, mengatakan walaupun tentera mula membersihkan serpihan, ia kelihatannya kekurangan peralatan jentera berat.

“Kami tidak melihat sebarang bantuan daripada pihak kerajaan,” kata pekerja sukarelawan bencana, Kangujam. “Kerajaan tidak memberi kami sebarang maklumat.”

Bagaimanapun kerajaan mengatakan dua pasukan dari Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan telah tiba untuk membantu dan menyelamat.

ARTIKEL YANG SAMA