Gempa bumi ukuran 7.1 landa PNG

Gempa bumi ukuran 7.1 landa PNG

SYDNEY, 1 Mei (AFP) – Gempa bumi berukuran 7.1 telah melanda Papua New Guinea hari ini, kira-kira 110 kilometer selatan barat daya dari bandar Kokopo, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS), sehari selepas gegaran 6.7 magnitud di rantau itu. Gempa bumi melanda kira-kira jam 0806 GMT, 689 kilometer timur laut ibu negeri Pasifik, Port Moresby, di rantau New Britain pada kedalaman kira-kira 53 kilometer.

Belum ada amaran tsunami dikeluarkan, menurut Pusat Amaran Tsunami Pasifik.

Gempa bumi 6.7 magnitud melanda rantau yang sama pada Khamis, 131 kilometer barat daya Kokopo, namun tidak ada laporan mengenai kerosakan serius.

“Ini adalah gempa bumi kedua yang melanda rantau itu sejak dua hari lalu,” pengarah bersama Pusat Amaran Tsunami Australia Bersama, Daniel Jaksa memberitahu AFP.

“Gempa bumi sebelumnya adalah kira-kira 10 kilometer ke tenggara pusat gempa. Ia terletak di rantau luar New Britain yang tidak dihuni.

“Gempa bumi itu berukuran 7.1, 30 kali lebih kecil daripada gempa bumi yang berlaku baru-baru ini di Nepal.

“Ia seakan seperti gempa bumi yang berlaku semalam – tidak ada kesan nyata.”

New Britain, pulau terbesar di Kepulauan Bismarck, terletak di timur tanah besar New Guinea dan mempunyai bilangan penduduk sekitar 500,000 orang.

Pulau itu terletak di plat Australia Pasifik kira-kira 4,000 kilometer panjang, yang membentuk sebahagian daripada ‘Lingkaran Api’, bintik panas bagi aktiviti seismik akibat pergeseran antara plat tektonik.