Gempa gegarkan Kathmandu

Gempa gegarkan Kathmandu

KATHMANDU, 25 Mei (Bernama) – Gempa bumi berukuran 5 pada skala Ritcher menggegarkan Kathmandu pada awal pagi tadi mencetuskan suasana panik dalam kalangan penduduk.

Ketika gempa bumi menggegarkan Kathmandu pada 3.23 pagi waktu tempatan, penduduk menjerit-jerit dan berlari keluar ke jalan-jalan raya serta kawasan terbuka untuk menyelamatkan diri memandangkan mereka pernah mengalami ketakutan semasa gempa kuat melanda pada 25 April lalu.

Menurut Pusat Seismologi Kebangsaan (NSC) Nepal gempa bumi berukuran 5 pada skala Ritcher dengan pusat gempa di Gorkha, 85 kilometer di barat Kathmandu.

NSC memberitahu ia merupakan gempa susulan selepas gempa bumi 25 April lalu dan meminta orang ramai tidak panik memandangkan ia merupakan perkara biasa selepas kejadian gempa bumi kuat.

“Kita tidak menerima laporan mengenai kerosakan terbaharu akibat gempa susulan tetapi kemusnahan awal sangat besar,” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Laxmi Prasad Dhakal.

Sementara itu, kerajaan Nepal telah membatalkan semua program dan sambutan rasmi yang dijadualkan pada 29 Mei ini berikutan kemusnahan besar yang berlaku akibat gempa bumi.

Menurut kenyataan pejabat Presiden, kesemua 11 acara termasuk sambutan Hari Republik untuk tahun ini telah dibatalkan.

“Majlis jamuan minum petang tidak akan diadakan tahun ini berikutan kesedihan akibat gempa bumi kuat pada 25 April lalu dan kejadian gempa susulan,” menurut kenyataan itu.

Presiden Nepal mengadakan majlis resepsi Hari Republik berkenaan setiap tahun sejak 2008 apabila negara ini diisytihar sebagai republik.

ARTIKEL YANG SAMA