Gempa kuat di NZ: Pelajar Brunei selamat

Gempa kuat di NZ: Pelajar Brunei selamat

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov – Semua pelajar Brunei yang sekarang ini menuntut di bandar raya Christchurch, New Zealand dilaporkan selamat susulan kejadian gempa bumi kuat berukuran 7.5 skala Richter dan gempa susulan yang melanda bandar raya itu malam ini.

Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke New Zealand dan Atace Pendidikannya yang berpangkalan di Australia akan terus berhubungan dengan pelajar-pelajar Brunei yang berada di New Zealand untuk memantau keadaan di sana.

Sebarang pertanyaan mengenai keadaan di New Zealand  yang membabitkan warga Brunei boleh dibuat dengan menghubungi talian hotline Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, +673 871 6001.

Sementara itu, agensi berita Bernama melaporkan, South Island di New Zealand digegarkan dengan gempa bumi kuat berukuran 7.5 pada skala Richter, malam ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, kejadian pada pukul 7:02 malam itu berlaku 92km timur laut dari bandar Christchurch. Kawasan gempa bumi itu terletak 7,589km tenggara Semporna di Sabah.

Laporan media New Zealand, menyebut tsunami melanda timur laut pantai negara itu kira-kira dua jam kemudian dan aktiviti tsunami akan berterusan untuk beberapa jam lagi.

Laporan itu menyebut, penduduk di kawasan yang terlibat diminta berpindah ke kawasan tanah tinggi.

ARTIKEL YANG SAMA