Gempa kuat landa Indonesia, tiada amaran tsunami

Gempa kuat landa Indonesia, tiada amaran tsunami

JAKARTA, 4 Nov (Agensi) – Gempa bumi kuat berukuran 6.3 magnitud melanda timur laut Indonesia hari ini, menyebabkan orang ramai yang panik berpusu-pusu meninggalkan rumah mereka.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan setakat ini, kata pihak berkuasa tempatan, sambil menambah tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Gempa bumi itu berpusat kira-kira 28 kilometer di timur laut gugusan pulau Alor, wilayah Nusatenggara Timur, menurut Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia.

Mengikut agensi itu, gempa itu berada pada kedalaman 14 kilometer.

“Gempa menggegarkan kawasan sekitar selama hampir 11 saat, menyebabkan orang ramai lari bertempiaran meninggal kediaman masing-masing dalam keadaan panik,” kata Marthen Daud Ndauman, pegawai di wilayah Alor, pulau terdekat dengan lokasi gempa.