Gempa landa Sumatera Utara, Ranau

Gempa landa Sumatera Utara, Ranau

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) – Gempa bumi sederhana berukuran 5.1 pada skala Richter melanda pantai barat Sumatera Utara, Indonesia pada pukul 8.38 pagi ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan berkata pusat gempa adalah di 94km dari barat daya Banda Acheh, Indonesia dan 596km dari barat daya Langkawi, Kedah.

Gempa itu tidak mendatangkan ancaman tsunami, kata kenyataan itu.

Sementara itu, gempa bumi lemah berukuran 3.1 pada skala Richter juga melanda Ranau, Sabah pada 9.47 pagi tadi.

Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan berkata pusat gempa terletak di 5.9 darjah utara dan 116.7 darjah timur, 11km selatan dari Ranau.

“Gegaran dirasai di Ranau,” kata kenyataan itu di sini, hari ini. Jabatan Meteorologi Malaysia kini memantau perkembangan dan sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan.

Pada 5 Jun lepas, Ranau digegarkan dengan gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter, meragut 18 nyawa pendaki dan malim gunung di Gunung Kinabalu. Susulan itu beberapa gempa bumi lemah turut dikesan berlaku.

Dalam kenyataan berasingan, jabatan itu memaklumkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dengan angin kencang Barat Daya berlaku di kawasan perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Sarawak (Miri), Sabah (Pedalaman dan Pantai Barat) serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Kenyataan itu menyebut angin kencang diramal berlaku dengan kelajuan 40-50 kmsj dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter.

Keadaan ini berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi dan sukan laut, menurut kenyataan itu.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua dengan angin Barat Daya berkelajuan 50-60 kmsj dan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter di perairan Kudat, Phuket, Condore Reef, Layang-Layang, Palawan dan Sulu.

“Ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” kata jabatan itu.

Menurut Jabatan Meteorologi, kesemua amaran keadaan laut itu dijangka berterusan sehingga Ahad ini.