Gempa sederhana ragut 4 jiwa di selatan Iran

Gempa sederhana ragut 4 jiwa di selatan Iran

TEHRAN, Iran, 6 Jan – Satu gempa bumi berukuran 5.1 magnitud telah melanda sebuah kampung pedalaman di selatan Iran hari ini, membunuh empat orang dan mencederakan empat yang lain, lapor televisyen kerajaan Iran.

TV berkenaan berkata gempa bumi melanda pada awal pagi di kampung Saifabad berhampiran bandar Khonj, kira-kira 1,000km selatan bandar tersebut, di Tehran.

Menurutnya lagi, empat korban jiwa itu adalah warga Afghanistan, yang bekerja di ladang tempatan. Ia berkata salah seorang mangsa yang cedera juga seorang buruh warga Afghanistan.

Gabenor tempatan, Mokhtar Abbasi memberitahu TV yang pekerja penyelamat berada di tempat kejadian, membantu mangsa di Saifabad dan juga menilai kerosakan di kampung-kampung berdekatan. Gempa bumi tersebut tidak menjejaskan infrastruktur dan utiliti, kata Abbasi.

Pusat gempa bumi itu terletak di sebuah kawasan pergunungan luar bandar yang tidak ramai penduduknya.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) menggambarkan siri gelombang gegaran 5.3 magnitud, melanda pada kedalaman kira-kira 10km di wilayah Fars, Iran. Gempa bumi dengan ukuran 5 magnitud boleh mengakibatkan kerosakan besar.

Iran terletak pada siri garis sesar seismik dan mengalami gempa bumi ringan puratanya sekali sehari. Pada 2003, kira-kira 26,000 orang terbunuh oleh gempa bumi berukuran 6.6 magnitud yang meranapkan bandar bersejarah Bam. – AP

ARTIKEL YANG SAMA