Gempa sekat sungai, ribuan selamatkan diri

Gempa sekat sungai, ribuan selamatkan diri

KATHMANDU, 24 Mei (AFP) – Beribu-ribu penduduk kampung melarikan diri dari rumah mereka kerana bimbang banjir kilat yang melanda selepas runtuhan tanah semalaman yang menyekat sebatang sungai di kawasan barat laut kawasan pergunungan Nepal yang dilanda gempa bumi,menurut para pegawai hari ini.

Runtuhan tanah, yang berlaku pada tengah malam, menyebabkan lumpur dan batu mengalir turun ke sungai Kali Gandaki di daerah Myagdi, sekali gus mengakibatkan paras air naik 150 meter, kata pegawai tempatan Yam Bahadur Chokhal.

“Kami telah memindah kira-kira 100 orang dari kawasan yang terjejas, penduduk di kampung lain tidak memerlukan bantuan segera tetapi beribu-ribu orang telah meninggalkan kampung mereka,” beritahu Chokhal kepada AFP.

Rantau tersebut telah menyaksikan beberapa runtuhan tanah kecil dalam beberapa hari ini, menurut pegawai tempatan Trivikram Sharma, berpangkalan di ibu pejabat daerah Beni, 185 kilometer dari barat Kathmandu.

“Selepas dua gempa bumi, penduduk kampung telah melaporkan runtuhan tanah kecil dan pada lewat malam semalam, mereka berkata bukit runtuh. Kami tidak dapat menilai risiko banjir kilat tetapi orang jelasnya berasa takut empangan tiruan akan pecah secara tiba-tiba dan menenggelami rumah mereka,” kata Sharma kepada AFP.

ARTIKEL YANG SAMA