Gencatan senjata 5 hari di Yaman

Gencatan senjata 5 hari di Yaman

RIYADH, 26 Julai (AFP) – Tentera pakatan diketuai Arab Saudi yang menggempur pemberontak Syiah di Yaman sejak Mac lalu mengisytiharkan gencatan senjata kemanusiaan selama lima hari bagi memberi laluan penghantaran barang keperluan, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, gencatan senjata itu mula berkuat kuasa mulai tengah malam, Ahad.

Tentera pakatan meletakkan syarat mereka berhak memantau aktiviti ketenteraan atau pergerakan pemberontak.

SPA berkata keputusan itu diambil atas permintaan Presiden dalam buangan Abedrabbo Mansour Hadi yang berlindung bersama menteri kabinetnya di sini.

Penyokong Hadi berjaya menawan semula kebanyakan pelabuhan selatan Aden daripada pemberontak Houthi selepas empat bulan perang berlalu.

“Gencatan senjata ini dibuat untuk membolehkan penghantaran dan pengagihan maksimum bantuan kemanusiaan dan perubatan,” katanya.

Dua gencatan senjata yang ditaja Perubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebelum ini gagal bertahan.

Terdahulu, tentera pakatan yang diketuai Arab Saudi melancarkan serangan udara di bandar Taiz Yaman menjadikan angka korban meningkat kepada 80 orang dan mencederakan 150 orang, lapor media tempatan, semalam.

Agensi Berita Saba yang di bawah kawalan pemberontak Houthi awal pagi Sabtu terdahulu melaporkan awal pagi Sabtu serangan di Taiz membunuh 55 orang dan angka kematian dijangka meningkat.