Gencatan senjata di Syria dilanjutkan

Gencatan senjata di Syria dilanjutkan

ALEPPO, Syria, 16 Sept – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa kerajaan Syria membenarkan penghantaran segera bantuan kepada penduduk awam yang dilanda kelaparan selepas gencatan senjata rapuh dilanjutkan selama 48 jam oleh Rusia dan Amerika Syarikat.

Sebagai petanda ketegangan baharu kedua-dua kuasa dunia itu yang masing-masing menyokong pihak bertentangan dalam konflik di Syria, Moscow menuduh Washington gagal memenuhi syarat menurut perjanjian itu yang ia rundingkan bersama Moscow.

Duta Rusia ke PBB, Vitaly Churkin, berkata Moscow mahu resolusi Majlis Keselamatan meluluskan perjanjian itu.

Gambar fail 31 Ogos 2016 menunjukkan Tentera Pejuang Syria meronda di Jarablus, Syria. - AP
Gambar fail 31 Ogos 2016 menunjukkan Tentera Pejuang Syria meronda di Jarablus, Syria. – AP

“Kami sedang berusaha,” katanya kepada wartawan di New York, sambil menambah kita perlu meluluskan apabila Majlis Keselamatan bersidang mengenai Syria pada Rabu depan (21 September ini).

PBB berkata, trak-trak yang dipenuhi bantuan berada pada hari kedua di zon penampan antara Turki dan Syria, menyuarakan harapan bekalan boleh disampaikan ke daerah dikepung pemisah di Aleppo hari ini.

Perjanjian itu menggesa laluan utama, Castello Road, ke bandar raya itu bebas daripada kawalan tentera. – AFP