Gencatan senjata dicabul

Gencatan senjata dicabul

SANAA, 12 Julai (AFP) – Tentera bersekutu yang diketuai oleh Arab Saudi bertindak melancarkan serangan udara dan darat terhadap kawasan kedudukan pemberontak Houthi, hari ini beberapa jam selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memeterai perjanjian gencatan senjata selama seminggu.

Agensi berita Al Jazeera memetik kenyataan pegawai keselamatan sebagai berkata, dua serangan udara dilancarkan awal pagi ini di bandar ketiga terbesar di Yaman iaitu Taez, sebelum berlaku pertempuran antara kumpulan yang setia kepada Presiden, Abdrabbuh Mansour Hadi dengan pemberontak Houthi.

Saksi berkata, siri serangan ganas turut berlaku di beberapa buah kawasan penempatan di Taez, dengan pemberontak Houthi bertindak mengebom kawasan-kawasan terbabit.

Selain di Taez, tentera bersekutu turut menggempur kubu kumpulan pemberontak di bandar pelabuhan Aden dan wilayah Lahj.

Bagaimanapun, angka korban akibat daripada serangan tersebut tidak dinyatakan.

Orang ramai berkumpul di luar kilang fabrik yang telah diserang oleh serangan udara mencabuli perjanjian gencatan senjata. – Reuters
Orang ramai berkumpul di luar kilang fabrik yang telah diserang oleh serangan udara mencabuli perjanjian gencatan senjata. – Reuters

PBB semalam mengumumkan gencatan senjata di Yaman akan berkuatkuasa selama tujuh hari bermula dari 10 hingga 17 Julai ini, bagi membolehkan bantuan perubatan dan makanan disalurkan kepada penduduk yang memerlukannya.

“Kami mempunyai misi yang sangat penting iaitu bagi memastikan bantuan kemanusiaan ini sampai kepada penduduk Yemen tanpa sebarang halangan dan syarat,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric.

Menurut sumber, hampir 80 peratus daripada 25 juta penduduk di negara ini ketika ini amat memerlukan bantuan kemanusiaan tersebut.