Gencatan senjata Syria berakhir

Gencatan senjata Syria berakhir

DAMSYIK, 20 Sept – Tentera bersenjata Syria semalam berkata gencatan senjata selama seminggu yang ditaja oleh AS dan Rusia sudah berakhir, menyalahkan pemberontak bagi kegagalan gencatan tersebut.

Setiausaha Negara AS, John Kerry sementara itu berkata bahawa syarat- syarat tidak dipenuhi bagi aspek persetujuan utama – kerjasama AS-Rusia menentang pengikut kumpulan berani mati di Syria.

Dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita negara SANA, tentera Syria berkata pembekuan ke atas pertempuran yang diumumkannya minggu lalu sudah berakhir, menyalahkan kumpulan pemberontak yang dikatakannya “tidak komited kepada satu elemen” persetujuan gencatan senjata.

“Tentera Syria mengumumkan berakhirnya pembekuan ke atas pertempuran yang bermula pada 7 malam (1600GMT) pada 12 September 2016 menurut persetujuan AS-Rusia,’ kata kenyataan itu.

Gencatan senjata itu disokong oleh kuasa–kuasa dunia yang bertujuan untuk membantu menamatkan konflik kejam Syria selama lima tahun, yang telah meragut lebih dari 300,000 jiwa dan menjejaskan berjuta-juta yang lainnya. Tetapi selepas beberapa hari keadaan yang tenang, pertempuran berlaku di seluruh medan pertempuran utama, memuncak dengan serangan udara yang diketuai AS yang membawa maut pada hujung minggu ke atas kedudukan tentera Syria dan serangan baru ke atas Aleppo.

Gencatan senjata itu “seharusnya adalah peluang sebenar untuk menghentikan pertumpahan darah, tetapi kumpulan pengganas bersenjata melanggar persetujuan ini,” kata kenyataan tentera semalam. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA