Gencatan senjata Syria bermula Sabtu

Gencatan senjata Syria bermula Sabtu

BEIRUT, 23 Feb (AFP) – Satu gencatan senjata bersejarah akan mula berkuat kuasa di Syria bermula Sabtu ini, Amerika Syarikat dan Rusia mengumumkan, namun “gencatan senjata itu” tidak termasuk kumpulan-kumpulan utama jihad iaitu kumpulan IS dan Al-Nusra Front.

Kumpulan pembangkang utama dalam konflik lima tahun itu memberikan penerimaan bersyarat mereka pada pengumuman kelmarin, namun Israel berkata ia tidak percaya perjanjian itu akan bertahan, dan para penganalisis memberi amaran, sebarang penangguhan dalam peperangan itu akan bergantung pada Rusia, Iran dan Presiden Bashar al-Assad.

Pengumuman itu tiba sehari selepas serangan berdarah paling dahsyat oleh para pejuang jihad di perang saudara Syria, dengan 134 orang yang kebanyakannya orang awam terkorban dalam siri-siri serangan bom berdekatan Damsyik.

Dalam satu keterangan bersama, Washington dan Moscow berkata gencatan senjata separa itu akan bermula pada waktu tengah malam Damsyik, menggantung konflik ganas yang telah menyebabkan 260,000 orang terkorban dan melihat separuh penduduk kehilangan tempat tinggal.

“Jika diimplementasikan dan dipatuhi, gencatan senjata ini bukan sahaja akan mendorong bagi pengurangan dalam keganasan, ia juga bagi meneruskan perkembangan dalam penghantaran bekalan-bekalan kemanusiaan yang diperlukan segera ke kawasan-kawasan kepungan dan sokongan peralihan politik kepada kerajaan yang responsif kepada kehendak rakyat Syria,” kata Setiausaha Negara AS, John Kerry.

Presiden Rusia, Vladimir Putin membuat pengumuman itu di pejabatnya di Moscow. - Reuters
Presiden Rusia, Vladimir Putin membuat pengumuman itu di pejabatnya di Moscow. – Reuters

Presiden AS Barack Obama dan Presiden Russia Vladimir Putin membincangkan perjanjian itu melalui telefon, menurut Rumah Putih.

“Ini adalah saat bagi kesempatan dan kami amat berharap kesemua parti akan mengambil kesempatan daripada itu,” ujar setiausaha akhbar Rumah Putih John Earnest.

Putin berkata Moscow akan melakukan “apa yang patut” untuk memastikan Damsyik menghormati perjanjian itu.

“Kami bergantung pada Amerika Syarikat untuk melakukan perkara yang sama dengan sekutu-sekutunya dan kumpulan-kumpulan yang disokongnya,” katanya.

Dua kuasa global itu melanjutkan peperangan udara yang berasingan di Syria, dengan Rusia menyasarkan serangan terhadap para pemberontak dan pakatan diketuai AS memfokuskan pada kumpulan IS.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon mengelar perjanjian sebagai “isyarat harapan yang ditunggu-tunggu,” dan menggesa semua pihak untuk mematuhinya.

ARTIKEL YANG SAMA