Gencatan senjata Syria di ambang keruntuhan

Gencatan senjata Syria di ambang keruntuhan

BEIRUT, 19 Sept – Gencatan senjata Syria nampaknya hampir kepada kegagalan hari ini selepas serangan kumpulan campuran yang diketuai Amerika Syarikat telah membunuh berbelas-belas tentera rejim dan bandar Aleppo dilanda serangan udara pertama dalam tempoh hampir seminggu.

Serangan-serangan Ahad lalu ke atas daerah-daerah di Aleppo yang dikuasai pemberontak berisiko mencetuskan pertempuran di bandar itu dan mungkin ancaman paling serius kepada gencatan senjata setakat ini.

Penghentian pertempuran sekitar Aleppo dan penghantaran bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan itu adalah komponen utama perjanjian rapuh yang berkuat kuasa petang Isnin lalu.

Penaja bersama gencatan senjata itu, Rusia dan AS saling salah menyalahkan antara satu sama lain dengan hubungan seterusnya tegang selepas serangan yang diketuai AS telah membunuh ramai tentera Syria Sabtu lalu. Syria menuduh AS atas mensabotaj gencatan senjata.

“Matlamat serangan AS adalah untuk menggagalkan gencatan senjata,” kata Bashar Jaafari, duta Syria ke PBB. Semalam adalah hari gencatan yang paling banyak mengorbankan jiwa setakat ini, menurut Pemerhati Syria bagi Hak Asasi dengan 11 orang awam terbunuh di kawasan-kawasan yang mana gencatan senjata sepatutnya mengambil tempat. Rusia berkata Aleppo ‘sangat tegang’ dengan menyalahkan ketidakstabilan ke atas para pemberontak.

Penduduk Syria berjalan melalui runtuhan berikutan serangan udara di kejiranan yang dikuasai pemberontak di Karm al-Jabal kelmarin. – AFP
Penduduk Syria berjalan melalui runtuhan berikutan serangan udara di kejiranan yang dikuasai pemberontak di Karm al-Jabal kelmarin. – AFP

“Jumlah bedilan oleh kumpulan pemberontak ke atas kedudukan-kedudukan pasukan kerajaan Syria dan kawasan-kawasan perumahan bertambah,” kata jurucakap kementerian pertahanan, Igor Konashenkov.

Menteri Luar Perancis Jean-Marc Ayrault menuduh kerajaan Presiden Syria Bashar al-Assad menjejaskan gencatan senjata. Serangan waktu malam ke atas Aleppo itu telah membunuh seorang wanita dan mencederakan yang lain, menurut Pemerhati yang beribu pejabat di Britain, yang tidak dapat mengenal pasti siapa yang melancarkan serangan itu.

Sepuluh orang termasuklah seorang kanak-kanak terbunuh Ahad lalu apabila dua bom berangkai mengenai bandar yang dikuasai pihak pembangkang di wilayah selatan, Daraa, menurut pemerhati itu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA