Gencatan senjata Yaman tamat

Gencatan senjata Yaman tamat

RIYADH, Arab Saudi, 4 Jan (Agensi) – Gabungan pimpinan Arab yang menentang kumpulan militan disokong Iran di Yaman mengumumkan gencatan senjata telah tamat setelah ia dicabuli setiap hari sejak diisytiharkan berkuat kuasa bulan lalu.

Perikatan dalam satu kenyataan berkata, kepimpinan gabungan mengumumkan gencatan senjata berakhir di Yaman bermula dari pukul 2 petang (waktu tempatan) kelmarin.

Gencatan senjata yang diumumkan 15 Disember lalu tamat berikutan serangan berterusan militan ke atas wilayah Arab dengan menembak peluru berpandu balistik ke arah bandar Saudi dan menyasarkan kedudukan sempadan serta menghalang operasi bantuan.

Beberapa lelaki memeriksa kerosakan di sebuah kilang Coca-Cola selepas ia dilaporkan musnah akibat serangan udara gabungan Arab di Sanaa, 30 Disember lalu. – AFP
Beberapa lelaki memeriksa kerosakan di sebuah kilang Coca-Cola selepas ia dilaporkan musnah akibat serangan udara gabungan Arab di Sanaa, 30 Disember lalu. – AFP

‘Semua ini menunjukkan bahawa kumpulan militan dan sekutunya tidak serius dan mereka juga tidak peduli tentang kehidupan orang awam.,’ menurut kenyataan itu.

Difahamkan, kenyataan berkenaan dibuat selepas gabungan mengumumkan bahawa pasukan pertahanan udara Arab telah memintas peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari Yaman ke arah Abha pada Jumaat lalu.