Generasi muda disaran celik kewangan

Generasi muda disaran celik kewangan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Nov – Transformasi pendidikan yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan khususnya dalam menekankan komponen keusahawanan dalam kurikulum pendidikan merupakan satu usaha yang amat penting khususnya bagi menyediakan generasi muda yang berdaya saing serta bersedia menghadapi perubahan pesat dalam era globalisasi.

Dalam dunia pendidikan pada masa ini, kemahiran akademik saja belum mencukupi, bagi pelajar dan mereka juga perlu mempunyai kemahiran profesional dan celik kewangan supaya dapat menyumbang kepada negara pada masa akan datang sebagai warga yang produktif bagi menjamin masa depan negara yang makmur.

Perkara itu di antara yang diketengahkan oleh Pengarah Pusat Serantau bagi Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (SEAMEO-VOCTECH), Haji Mohd Sharifuddin bin Haji Mohd Salleh dalam ceramah inspirasi, Masa Depan di Tangan Anda (The Future is in your Hands), semasa Majlis Hari Penghargaan Pelajar SEAMEO VOCTECH yang berlangsung di Dewan Jubli, Pusat Serantau SEAMEO-VOCTECH, Gadong, hari ini.

Penghargaan berkenaan diberikan kepada 12 pelajar terdiri daripada mereka yang mengambil bahagian dalam Pameran dan Rumah Terbuka Pelajar sempena Ulang Tahun SEAMEO-VOCTECH ke-25 yang diadakan pada 2 dan 3 September lalu.

Penyampaian cenderahati tersebut telah disampaikan oleh Haji Mohd Sharifuddin.

Haji Mohd Sharifuddin bergambar ramai bersama para pelajar dan guru yang diraikan di majlis itu.
Haji Mohd Sharifuddin bergambar ramai bersama para pelajar dan guru yang diraikan di majlis itu.

Haji Mohd Sharifuddin dalam ceramahnya turut menasihati para pelajar supaya tidak takut melakukan kesilapan kerana melalui kesilapan itu mereka mampu mempelajari daripadanya dan memperbaiki diri mereka supaya menjadi lebih berpengetahuan dan berkemahiran.

Beliau juga menasihati para pelajar apabila meneroka alam pekerjaan untuk mempunyai pendidikan kewangan yang bijak khususnya dalam berbelanja supaya mereka tidak akan dibebankan dengan hutang pada usia yang lanjut.

Pada masa yang sama, beliau berkata pendidikan kewangan itu berkait rapat dengan pemikiran keusahawanan yang mana ia amat penting bagi mereka untuk mempunyai pemikiran yang terbuka, kreatif serta bijak dalam menilai yang baik dan yang buruk.

Berdasarkan pengalamannya sendiri, beliau juga menyentuh mengenai pilihan kerjaya pada masa akan datang dengan berharap para pelajar dapat membuat keputusan mereka sendiri untuk memilih kerjaya yang ingin diceburi berpandukan nasihat daripada ibu bapa mereka.

Kata beliau, jika seseorang itu tidak berasa gembira dalam melakukan pekerjaan mereka, mereka tidak akan menikmati sepenuhnya kejayaan itu.

Oleh itu, mereka harus memilih kerjaya yang mereka benar-benar inginkan dan berasa gembira untuk melakukannya supaya mampu memberikan yang terbaik.

Terdahulu, Timbalan Pengarah bagi Hal Ehwal Profesional Pusat Serantau SEAMEO-VOCTECH, Dr. Paryono dalam kata alu-aluannya menerangkan mengenai peranan dan sejarah penubuhan SEAMEO-VOCTECH.

Dr. Paryono berkata, kerjasama dalam kalangan menteri-menteri pendidikan dari 11 buah negara anggota SEAMEO merupakan satu kerjasama unik yang terbukti berjaya dalam mencapai sasarannya untuk menghulurkan bantuan menerusi peingkatan kualiti pendidikan dan sains yang efektif dan berkesan serta membina rangkaian persahabatan yang kukuh bagi menangani isu-isu yang penting dalam kalangan negara anggota termasuk pendidikan, sains dan budaya.

Beliau juga menyeru kepada para pelajar untuk berkunjung ke pusat berkenaan dengan memanfaatkan sumber-sumber yang terdapat di pusat itu seperti perpustakaannya serta mengambil bahagian dalam program yang dikendalikan bagi golongan belia seperti kursus teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan kem belia.

ARTIKEL YANG SAMA