Generasi muda jangan jadi ejen penyebar fitnah

Generasi muda jangan jadi ejen penyebar fitnah

TAWAU, 31 Julai – Generasi muda diingatkan agar tidak menjadi ejen penyebar fitnah dengan berkongsi maklumat yang tidak diketahui kesahihannya, kata Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Nizam berkata perkongsian maklumat berunsur fitnah yang datang dalam pelbagai bentuk berikutan kemajuan teknologi maklumat kini berupaya melumpuhkan keharmonian dan pembangunan negara.

“Penyebar fitnah itu lebih jahat dari tukang sihir kerana kesan fitnah itu besar dan bersifat serta merta, kerana kita boleh hilang kepercayaan, hilang kasih sayang dan menjadi pencetus permusuhan yang sepatutnya tidak wujud dalam kalangan kita,” katanya.

Beliau berucap pada majlis penutup Kem Aspirasi Pelajar Kelab 1Malaysia peringkat negeri Sabah yang turut dihadiri Pegawai Penerangan Bahagian Tawau Mohd Kaya Iggoh di sini hari ini.

Nizam berkata generasi muda seharusnya berusaha mengekalkan perpaduan dan keharmonian demi kedaulatan negara dengan menjadi modal insan yang lengkap semua aspek dan tidak menjadi leka dengan teknologi maklumat sahaja.

Beliau berkata memelihara keharmonian negara bukan satu tugas mudah sebaliknya memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk generasi muda.

Untuk itu, katanya, kerajaan melalui jabatan-jabatan yang ada sentiasa berusaha menganjurkan pelbagai aktiviti yang berupaya mewujudkan ruang bagi semua lapisan masyarakat bekerjasama secara harmoni dalam memperkukuh semangat kekitaan dan cintakan negara.

Program yang diadakan selama tiga hari itu membabitkan tujuh sekolah sekitar daerah Tawau dengan penyertaan 70 pelajar. – Bernama