Geng curi barang dapur di Miri tumpas

Geng curi barang dapur di Miri tumpas

MIRI, 14 Nov – Polis Miri menumpaskan kumpulan yang aktif memecah masuk serta mencuri di kedai sekitar bandar raya ini dengan menahan tiga lelaki di Marina Bay pukul 3:45 pagi ini.

Ketua Polis Miri ACP Khoo Leng Huat berkata tiga lelaki rakyat tempatan berusia 19 hingga 35 tahun itu ditahan di sebuah pondok yang didiami suspek di pantai Marina Bay dengan pelbagai rampasan barang curi yang majoriti barangan keperluan dapur.

“Nilai anggaran rampasan ialah RM4,000 dan kumpulan ini aktif melakukan kegiatan sewaktu malam,” katanya di sini hari ini sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, antara barangan dapur dirampas ialah 25 tin susu, lima peket gula satu kilogram, sepeket serbuk milo satu kilogram dan sepeket susu teh tarik 2.5 kilogram.

Selain barangan keperluan dapur, beliau berkata, ketiga-ketiga suspek yang tidak mempunyai pekerjaan turut mencuri sebuah televisyen dan tablet. – Bernama