Geng godam ATM Thailand larikan jutaan baht

Geng godam ATM Thailand larikan jutaan baht

BANGKOK, 24 Ogos – Sekumpulan geng penjenayah asing mencuri berjuta-juta baht dengan menggodam rangkaian ATM bank-bank Thailand dalam satu pencurian yang dipercayai berkaitan dengan insiden serupa di Taiwan, kata polis hari ini.

Para penggodam telah melarikan kira-kira 12 juta baht (AS$346,000) dengan memasukkan kad yang dipasang dengan perisian malware ke dalam beberapa mesin tunai yang diuruskan oleh Bank Simpanan Kerajaan (GSB) milik Thailand pada lewat Julai.

Kecurian itu muncul sejurus selepas Taiwan mengumumkan yang sekumpulan warga asing telah mencuri AS$2.5 juta dari mesin tunai menggunakan kaedah serupa.

Seorang warga Latvia, seorang Romania dan Moldova telah ditangkap berhubung rompakan Taiwan itu namun beberapa suspek – termasuk lima warga Rusia – berjaya melarikan diri keluar negara.

Polis di Bangkok hari ini mengumumkan bahawa GSB telah memberi mereka amaran kepada penggodaman serupa dalam apa yang mereka katakan adalah yang pertama bagi Thailand.

“Buat masa sekarang bukti yang kami temui menjadikan kami yakin yang kumpulan ini berkaitan dengan geng yang melakukan rompakan serupa di Taiwan,” kata Jeneral Polis, Panya Mamen kepada wartawan.

Kira-kira lima warga asing membuat perjalanan dari Taiwan ke Thailand untuk melakukan pencurian itu, katanya. “Para penyiasat percaya identiti mereka adalah berasal dari Eropah Timur tapi kami juga menyiasat sama ada rakyat Thailand juga terlibat,” kata Panya, menambah bahawa kelima-limanya sepertinya telah meninggalkan Thailand.

Polis berkata kira-kira 21 mesin ATM telah digodam, beberapa daripadanya mengeluarkan jutaan baht pada satu masa. Mereka berkata bank tidak menyedari pencurian itu.

Mereka yang di sebalik rompakan itu berdiri buat tempoh yang lama pada mesin tunai, biasanya lewat malam, mencetuskan polis untuk meminta warga Thailand untuk memerhati kelakuan pelik warga asing di mesin tunai. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA