Geng motosikal bergaduh, 9 maut

Geng motosikal bergaduh, 9 maut

WASHINGTON, 18 Mei – Kira-kira sembilan anggota geng bermotosikal terbunuh di Texas semalam apabila pergaduhan berlaku antara kumpulan-kumpulan yang bermusuhan berubah menjadi pertempuran bersenjata yang maut di hadapan orang ramai dan ahli keluarga yang dalam ketakutan.

Polis memberitahu para pemberita setempat di Waco bahawa mereka hairan tidak seorang pun yang sedang makan tengah hari di restoran-restoran berhampiran itu, tercedera dalam kejadian tembak menembak ketika anggota sekitar lima kumpulan geng bergaduh di tempat letak kereta dengan bersenjatakan senapang, belantan, pisau dan rantai.

“Dalam tempoh 34 tahun penguatkuasaan undang-undang ini adalah adegan geng paling ganas yang pernah saya terbabit. Darah ada di mana-mana,” Sarjan Patrick Swanton memberitahu Waco Tribute-Herald.

“Dari jarak dua puluh lima kaki terdapat orang ramai bersama ahli keluarga mereka,” ujarnya.

“Ini adalah salah satu pertengkaran bersenjata paling teruk yang pernah berlaku dalam had lingkungan bandar ini. Mereka mula melepaskan tembakan ke arah pegawai-pegawai kami.”

Polis mengiringi seorang lelaki di tempat kejadian tembak menembak di Waco, Texas. – Reuters
Polis mengiringi seorang lelaki di tempat kejadian tembak menembak di Waco, Texas. – Reuters

Pertempuran meletus di sebuah tandas di Twin Peaks Sports Bar and Grill, bar yang terkenal di kalangan penunggang motosikal yang terletak di pusat restoran dan membeli belah popular di Waco yang terkenal sebagai Central Texas Marketplace, sebelum berterusan ke kawasan bar dan kemudian ke tempat meletak kereta.

Pihak polis telah mengetahui awal tentang rancangan kumpulan penunggang motosikal dan para pegawai segera masuk campur, tetapi tidak sebelum pergaduhan kumpulan geng yang bertumbuk dan bertukar menjadi pergaduhan yang menggunakan pisau dan rantai, kemudian tembak menembak.

Pihak berkuasa mengarahkan perniagaan di kawasan itu ditutup dan memindahkan saksi-saksi dan tersangka ke tempat selamat, di tengah laporan bahawa lebih ramai anggota kumpulan geng menuju ke kawasan itu untuk meneruskan pergaduhan.

Swanton berkata polis telah memaklumkan tentang kebimbangan mereka itu kepada Twin Peaks, tetapi bar itu – sebahagian dari rangkaian yang digelar ‘breastaurant’ yang terkenal dengan pelayan-pelayannya yang mengenakan pakaian terlalu terdedah – tidak memberi kerjasama.

Outlet berita setempat melaporkan bahawa seramai 18 orang tercedera, kebanyakannya akibat tembakan senjata dan kecederaan tikaman dan Swanton memberitahu para pemberita lebih 100 senjata dikumpulkan dari tempat kejadian berdarah itu.

Para pegawai telah melepaskan tembakan senjata mereka dalam usaha untuk meleraikan keadaan yang kelam kabut, tetapi polis Waco berkata dalam halaman di Facebook bahawa tidak ada anggota polis yang tercedera. – AFP