Genting HK beli tiga limbungan kapal di Jerman

Genting HK beli tiga limbungan kapal di Jerman

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) – Genting Hong Kong Ltd akan membeli tiga limbungan kapal di Wismar, WarnemUnde dan Stralsund di Jerman bernilai 230.6 juta euro (RM1.04 bilion) bagi meningkatkan lagi kehadirannya dalam sektor berkenaan.

Pembelian daripada Nordic Yard itu dijangka dibiayai sumber dalaman kumpulan, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Saham Hong Kong.

Menurutnya, pertumbuhan pesat industri pelayaran dunia, terutama di China, menyebabkan tempahan kapal pelayaran global mencatat rekod tertinggi.

Berikutan itu, kumpulan berpotensi menghadapi risiko tidak mampu memperoleh slot pembinaan kapal pelayaran yang cukup pada harga berpatutan untuk melaksana strategi 10 tahun kapal pelayaran untuk tiga jenamanya iaitu Crystal Cruise, Dream Cruise dan Star Cruise.

Bagi menangani risiko ini, adalah strategik untuk kumpulan mempunyai limbungan pembinaan kapal pelayarannya sendiri, membolehkan pengurusan untuk memberi tumpuan kepada reka bentuk, perancangan dan penempatan.

Syarikat itu percaya, gabungan perniagaan yang sedia ada di Lloyd Werft Group yang diambil alih sebelum ini serta dengan aset dan kepakaran diperoleh di bawah transaksi sekarang, kumpulan berada dalam kedudukan baik untuk berjaya sebagai pembina kapal pelayaran dan kapal mega terbaik.

“Pengarah yakin pelaburannya dalam Lloyd Werft Group dan pembelian aset baharu adalah baik demi kepentingan jangka panjang syarikat,” kata Genting Hong Kong.

ARTIKEL YANG SAMA