Georgia malukan Sepanyol

Georgia malukan Sepanyol

MADRID, 8 Jun – Juara Eropah, Sepanyol mengalami kekalahan mengejut pertama sejak Mac 2015 apabila dimalukan Georgia 1-0 di laman sendiri pada aksi pemanas badan terakhir menjelang Euro 2016, semalam.

Georgia yang menduduki ranking ke-137 dunia tidak pernah menang selepas kali terakhir menewaskan Gibraltar pada pusingan kelayakan Euro 2015.

Mereka bertahan dengan baik dan mengambil kesempatan daripada satu-satunya serangan dicipta apabila Tornike Okriashvili menampan masuk bola ke gawang gol Sepanyol enam minit sebelum rehat separuh masa.

“Kami perlu menerima kekalahan ini dan kembali bangkit untuk perlawanan seterusnya,” kata pengendali La Roja, Vicente del Bosque.

“Keputusan ini tidak akan membuatkan kami gentar untuk mempertahankan kejuaraan pada Euro 2016 nanti.”

Penyerang Georgia, Giorgi Chanturia (kanan) cuba merampas bola daripada Andres Iniesta. – AFP
Penyerang Georgia, Giorgi Chanturia (kanan) cuba merampas bola daripada Andres Iniesta. – AFP

Del Bosque menurunkan skuad yang lebih kuat berbanding ketika mencatat kemenangan selesa ke atas Bosnia dan Herzegovina serta Korea Selatan dengan meletakkan pemain Real Madrid dan Atletico Madrid yang kembali dalam skuad selepas aksi Liga Juara Juara.

Tuan rumah nyata mendominasi permainan namun kekurangan kreativiti untuk memecah pertahanan kental lawan menyebabkan mereka tewas dengan satu serangan balas sebelum tamat babak pertama.

“Kami mahu membina keyakinan dan mencipta suasana yang baik namun itu tidak terjadi dan sememangnya saya kecewa.

“Kami tidaklah bermain dengan buruk kerana mereka menjaringkan gol menerusi serangan balas namun kami gagal memecah pertahanan lawan yang begitu tersusun selain kurang penyudah,” kata Del Bosque. – AFP