Gerai baru di Hospital RIPAS

Gerai baru di Hospital RIPAS

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – Sebagai usaha mengurangkan stigma dan diskriminasi, serta mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai penyakit mental Jabatan Psikiatri telah membuka Gerai Sinar Cahaya Sejahtera yang terletak di kawasan luar Pusat Perempuan dan Kanak-Kanak, Hospital Raja Isteri Hajah Saleha (RIPAS).

Perasmian gerai tajaan Brunei Ladies Golf Association dan Tabuan Senior Golfers Association itu, kelmarin, telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital RIPAS, Haji Muhd Jamal bin Haji Tersad.

Turut hadir ialah Konsultan dan Ketua Jabatan Psikiatri, Hospital RIPAS, Dr Hilda Ho; Jurupulih Cara Kerja Kanan, Hospital RIPAS, Tsara’ Nawwarah Binti Abdullah Chen, para pegawai dan kakitangan Hospital RIPAS serta wakil-wakil dari Brunei Ladies Golf Association dan Tabuan Senior Golfers Association.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, gerai ini juga bertujuan untuk memberikan peluang kepada pesakit-pesakit psikiatri untuk menyumbang kepada masyarakat dan membolehkan mereka menjana pendapatan untuk kesejahteraan hidup.

Gambar ramai di hadapan Gerai Sinar Cahaya Sejahtera yang baru dirasmikan.
Gambar ramai di hadapan Gerai Sinar Cahaya Sejahtera yang baru dirasmikan.

Gerai ini akan dikendalikan oleh dua orang pesakit psikiatri dan dipantau oleh kakitangan Jabatan Psikiatri dan Jabatan Jurupulih Cara Kerja, Hospital RIPAS pada setiap masa.

Antara yang dijual di gerai berkenaan adalah makanan dan juga kraf tangan yang dihasilkan oleh pesakit-pesakit psikiatri yang dilatih dan dipantau oleh kakitangan Jabatan Psikiatri dan Jabatan Jurupulih Cara Kerja, Hospital RIPAS.

ARTIKEL YANG SAMA