Gerai Kampung Kupang tetap jadi tumpuan

Gerai Kampung Kupang tetap jadi tumpuan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 10 Ogos – Walaupun sudah wujud sejak sekian lamanya, Gerai Kampung Kupang masih lagi kukuh dan masih menjadi tempat kunjungan orang ramai khususnya penduduk Kampung Kupang dan yang tinggal di sekitarnya.

Dalam tinjauan Media Permata ke gerai tersebut, salah seorang peniaga di Gerai Kampung Kupang yang tidak ingin namanya disiarkan menjelaskan, gerai tersebut masih lagi menjadi tumpuan orang ramai terutama sekali para penduduk Kampung Kupang dan orang ramai yang sering melintas melalui Jalan Lama ke Daerah Tutong untuk membeli sayur-sayuran dan buah-buahan (jika bermusim).

Beliau yang telah berniaga hampir 50 tahun dan berasal dari Kampung Kupang memberitahu, beliau berniaga setiap hari di Gerai Kampung Kupang untuk menampung pendapatannya dengan menjual sayur-sayuran.

Pelbagai dugaan dan rintangan telah pun dilaluinya semasa berjual di gerai tersebut.

Menurutnya, sebelum pondok khas dibina untuk peniaga, mereka dahulunya hanya disediakan meja khas untuk menjual sayur-sayuran dan buah-buahan, namun pada tahun 1990-an, pondok dan meja khas telah pun dibina khusus bagi para peniaga kecil-kecilan seperti mereka.

Gerai Kampung Kupang yang masih lagi wujud dan menjadi tumpuan orang ramai.
Gerai Kampung Kupang yang masih lagi wujud dan menjadi tumpuan orang ramai.

Namun apa yang mereka harapkan pada masa ini ialah agar pihak berkenaan menyediakan tempat-tempat khas mencuci sayur-sayuran atau buah-buahan di samping dapat meluaskan kawasan belakang gerai.

Perkara ini juga disuarakan oleh peniaga kecil seperti Hajah Rusdina binti Haji Tamin yang baru sahaja berniaga di sana selama setahun lebih.

Katanya, walaupun orang ramai berkunjung di kawasan berkenaan, namun dikhuatiri para pengunjung akan menganggap kawasan tersebut kotor terutama di belakang gerai yang sempit dan kelihatan kotor padahal para peniaga sudah pun berusaha untuk cuba membersihkannya.

pg03_160811_c

Keadaan belakang Gerai Kampung Kupang yang sempit dan kelihatan kotor walaupun sudah dibersihkan.
Keadaan belakang Gerai Kampung Kupang yang sempit dan kelihatan kotor walaupun sudah dibersihkan.

Apa yang menyedihkan, gerai tersebut juga berhampiran dengan tempat pembuangan sampah yang boleh menjejaskan kebersihan dan menimbulkan ketidakselesaan pengunjung untuk membeli barang makanan di gerai tersebut.

Beliau juga berharap pihak berkenaan akan dapat memperbaiki dan mengubahsuai tempat surau mereka agar nampak aman dan selesa digunakan.

Peniaga-peniaga di Gerai Kampung Kupang menyatakan perasaan bersyukur kerana diberi peluang berniaga di kawasan berkenaan dengan kemudahan-kemudahan yang ada, namun mereka juga berharap kebersihan gerai kampung tersebut akan dapat dijaga dengan baik di samping menyediakan kemudahan lain seperti menyediakan tempat sinki mencuci sayur-sayuran dan buah-buahan agar kawasan itu bersih dan elok di mata pengunjung nanti.

ARTIKEL YANG SAMA