Gerai Perayaan bermula hari ini

Gerai Perayaan bermula hari ini

Oleh Sim Y. H. & Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Ogos – Dengan hasrat untuk memeriahkan lagi dan memberikan peluang kepada orang ramai untuk sama-sama meraikan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69, Gerai Pasar Ria diadakan di keempat-empat daerah bermula esok (15 Ogos) hingga 31 Ogos.

Bagi Daerah Brunei dan Muara, lebih 190 petak gerai disediakan di Kawasan Letak Kereta berhadapan Bangunan Alat-Alat Kebesaran Diraja, Bandar Seri Begawan dengan menampilkan pelbagai jualan termasuk makanan, buah-buahan dan barangan runcit.

Sementara itu, bagi Daerah Belait, gerai berkenaan dibangunkan di Kawasan Gerai Tudung Saji, Kuala Belait manakala bagi Daerah Tutong, lebih 30 buah gerai disediakan di kawasan lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong.

Bagi Daerah Temburong pula, lebih 30 gerai disediakan di Kawasan Taman Perayaan, Pekan Bangar, Temburong.

Di samping gerai jualan, beberapa acara pentas juga akan diadakan bermula 8:30 malam, yang mana bagi Daerah Tutong antara acara yang akan dijalankan sepanjang minggu ini termasuk Pertandingan Lagu-Lagu Karaoke Berkumpulan
anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum Tutong, Sekolah-Sekolah Rendah, Daerah Tutong dan Persembahan Gulintangan dan Live Band anjuran Jabatan Penjara.

Acara lain seperti Sayembara Deklamasi Puisi Keputeraan, Peraduan Lagu-Lagu Irama Klasik, Persembahan Malam Kebudayaan, Pertandingan Lagu-Lagu Dakwah Antara Sekolah-Sekolah Ugama, Persembahan Kebudayaan Masyarakat Tionghua, Kembali Ke Era 70’an, Pertandingan Pidato Belia, Pentarama.

Persembahan Bercorak Keagamaan, Malam Kenangan Mustika Silam, persembahan dari sekolah-sekolah menengah
dan pusat tingkatan enam juga akan diadakan di sepanjang malam perayaan mengikut jadual yang telahpun ditetapkan.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk berkunjung ke gerai-gerai perayaan di keempat-empat daerah bagi sama-sama memeriahkan lagi acara sambutan berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA