Gerai perayaan ‘disergah’

Gerai perayaan ‘disergah’

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 26 Ogos – Makanan jualan terdedah dan tidak ditutup rapi, bahan-bahan makanan di atas lantai dan tukang masak tidak memakai kasut semasa memasak, adalah antara kesalahan yang didapati semasa operasi bersepadu Ops Sergah 27/2015 di kawasan Gerai Perayaan Kawasan Bangunan Tudung Saji, di sini, malam tadi.

Operasi tersebut diketuai oleh Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria dan melibatkan penyertaan Pejabat Kesihatan Kuala Belait untuk membuat pemeriksaan ke atas 21 buah gerai berjaja dan sebuah gerai makan dan minum.

Bagaimanapun, Jabatan Bandaran dalam laporannya hari ini menyatakan, mereka tidak menemukan sebarang kesalahan yang menyebabkan tindakan mengenakan denda atau kompaun, serta menekankan bahawa pemeriksaan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa bersama agensi-agensi yang lain bagi memastikan keselamatan dan kebersihan serta keselesaan pengunjung ke gerai berkenaan.

Pemeriksaan ke atas gerai-gerai perayaan Belait oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria serta Pejabat Kesihatan Belait.
Pemeriksaan ke atas gerai-gerai perayaan Belait oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria serta Pejabat Kesihatan Belait.

Operasi tersebut antara lain bertujuan untuk memastikan peniaga-peniaga sentiasa mematuhi peraturan dan menjaga kebersihan dengan membuang sampah sarap ke dalam tong-tong sampah yang telah disediakan, bagi mengelakkan daripada dikenakan kompaun di bawah Akta Kesalahan Kecil Penggal 30 Bab 12 Membuang Sampah di tempat awam.

Selain itu, ia juga bagi memastikan keadaan makanan yang dijual dan peniaga dalam keadaan yang bersih dan selamat terutama di gerai berjaja (menjual makanan dan minum siap sedia) seperti gerai makan dan minum.

ARTIKEL YANG SAMA