Gerai perayaan Tudung Saji hambar

Gerai perayaan Tudung Saji hambar

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 26 Ogos – Gerai Perayaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di kawasan Bangunan Tudung Saji, di sini, kurang mendapat sambutan berbanding tahun-tahun lalu.

Ini jelas dilihat setelah tinjauan Media Permata ke gerai berkenaan malahan beberapa orang pengusaha dan pengunjung juga beranggapan sedemikian.

Dua orang pengusaha gerai yang ditemui, Awang Haji Masri dan Awang Asrri bin Amadi, menyatakan bayaran sewa gerai yang disediakan di sana semakin mahal berbanding tahun lalu, menyebabkan beberapa lagi penjual lain membuat keputusan untuk tidak berniaga tahun ini.

Awang Asrri berkata, jualan tidaklah begitu menjejaskan cuma sambutan daripada orang ramai tidak menggalakkan kerana ramai yang mungkin menyangka bahawa persembahan pada tahun ini tidak akan semeriah seperti tahun lalu.

Menurutnya, tahun ini terdapat banyak tambahan persembahan-persembahan pentas daripada persatuan dan kampung-kampung di daerah ini.

Petak gerai yang masih banyak kosong dan tidak ramai pengunjung menjadikan gerai perayaan di sana hambar.
Petak gerai yang masih banyak kosong dan tidak ramai pengunjung menjadikan gerai perayaan di sana hambar.

Bagi Haji Masri pula, perayaan pada tahun lepas agak meriah, yang mana menurutnya, tahun ini tidak banyak penyertaan pengusaha menyebabkan tidak ramai pengunjung yang menghadiri perayaan kali ini walaupun persembahan diadakan setiap malam.

Beliau turut menyuarakan pendapat bahawa kekurangan pengunjung mungkin kerana orang ramai sudah banyak berbelanja semasa Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang baru sahaja berakhir pada pertengahan bulan ini.

Tinjauan ke gerai perayaan berkenaan jelas kurangnya penyertaan daripada pengusaha restoran dengan hanya satu penyertaan daripada pengusaha restoran Nur Hajika di satu kawasan petak yang disediakan untuk pengusaha-pengusaha restoran.

Sementara itu, salah seorang pengunjung yang sempat ditemui, Awang Sujairi bin Awang Magani turut berpendapat bahawa perayaan tahun ini tidak semeriah tahun lalu.

“Tahun lepas kami berada di sini, ramai pengunjung yang hadir walaupun sekadar berjalan-jalan melihat dan membeli barangan atau makan minum di sini,” ujarnya.

Beliau juga menyuarakan pendapat yang sama di mana penyertaan gerai-gerai restoran nampak kurang dan tidak mempunyai banyak pilihan berbanding tahun lalu.

ARTIKEL YANG SAMA