Gerai Ramadan kalangan belia mendapat sambutan

Gerai Ramadan kalangan belia mendapat sambutan

Oleh Syahmi Hassan, Imelda Groves HA & Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani & Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jun – Kesedaran perniagaan dalam kalangan belia nampaknya semakin meningkat apabila Gerai Ramadan Belia di kawasan letak kereta Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kalangan belia.

Gerai Ramadan anjuran Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan dikendalikan oleh Riza Fudhlana Management Services itu menyediakan 460 petak jualan, meningkat 30 peratus berbanding 387 pada tahun lalu.

Menurut Pengarah Urusan Riza Group Brunei, Pengiran Haji Haris bin Pengiran Haji Duraman, petak jualan tersebut dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Kategori A (belia-belia), Kategori B (Persatuan Belia dan Sukan), dan Kategori C (orang ramai).

Sebanyak 401 petak telah digunakan oleh para usahawan Kategori A iaitu daripada golongan belia, manakala sebanyak 16 petak telah digunakan oleh para usahawan Kategori B dan sebanyak 43 petak digunakan bagi Kategori C.

Pengiran Haji Haris menjelaskan bahawa terdapat peraturan bagi gerai Ramadan tersebut iaitu sekurang-kurangnya 70 peratus kuota dimestikan untuk para belia.

pg08_160608_f

Para belia yang mengikuti gerai Ramadan di gerai Cendol Temburong Awang Haji Saban bin Haji Yahya.
Para belia yang mengikuti gerai Ramadan di gerai Cendol Temburong Awang Haji Saban bin Haji Yahya.

Wakil dari Jabatan Belia dan Sukan, KKBS, Awang Abdul Azeez bin Haji Ahmad, menjelaskan bahawa gerai Ramadan berkenaan dikhususkan kepada belia-belia agar mereka dapat belajar untuk berusaha dan berdikari serta memberikan pendedahan mengenai dunia perniagaan.

Pengiran Haji Haris pula menambah, ia juga bertujuan bagi melatih dan mengajar para beliawan untuk menjadi usahawan.

Beliau yang juga selaku wakil Riza Fudhlana Management Services turut menjelaskan, Gerai Ramadan Belia yang terletak di Stadium Negara Hassanal Bolkiah adalah tempat tumpuan berbanding dengan gerai Ramadan lain yang mereka kendalikan, iaitu di Jalan Bendahara bersebelahan dengan Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja di ibu negara yang hanya terdapat 42 perkhidmatan bawa balik dan 11 gerai makan, dan juga di Daerah Belait yang terdapat 205 petak.

Katanya, terdapat cabaran dalam mengendalikan gerai berkenaan memandangkan masih terdapat permin-taan daripada kalangan usahawan yang tidak beroleh petak jualan memandangkan petak jualan yang disediakan sudahpun dipenuhi oleh penjaja-penjaja lain, namun ia dapat diatasi dengan baik.

Dalam pada itu, wartawan Media Permata turut berkesempatan menemu bual beberapa orang belia yang menyertai gerai Ramadan berkenaan.

Bagi Dayang Nurul Aini binti Haji Awang Besar, 21, daripada Roses Food, ini merupakan aktiviti tahunannya sejak berumur tujuh tahun lagi bagi membantu meningkatkan lagi pendapatan keluarganya.

pg08_160608_b

pg08_160608_a

Antara belia-belia yang berjaja di gerai tersebut.
Antara belia-belia yang berjaja di gerai tersebut.

Beliau yang menjual pelbagai jenis kek raya, kek rol dan biskut itu menyatakan, antara cabaran yang sering dihadapi adalah persaingan di antara peniaga lain yang memberikan saingan semakin sengit tetapi percaya bahawa setiap individu mempunyai rezeki masing-masing.

Menurut Dayang Nurul Aini lagi, berniaga di bulan Ramadan memang memberi manfaat yang berlebihan dan Alhamdulillah setiap hari pendapatan yang mereka perolehi ketika bulan puasa adalah sekitar $150.

Menurutnya, beliau dan keluarganya mula membuat persiapan seawal waktu sahur lagi untuk membuat kuih dan mula membuka gerai kira-kira jam 12 tengah hari lagi untuk membuat persiapan.

Perkara yang sama turut dipersetujui oleh Awang Saifuddin bin Haji Ramli, 28, pemilik perniagaan Thai Kitchen, yang berkata bahawa persiapan barang-barang perniagaan dan bahan-bahan masakan telah dimulakan seawal jam lima pagi.

“Kami mula mengikuti gerai ramadan ini pada tahun lepas dan alhamdulillah, sambutan orang ramai adalah amat baik dan sememangnya menggalakkan.”

Menurutnya, gerai beliau yang dikendalikan bersama empat ke lima orang, mengetengahkan jualan makanan berkonsepkan Thai Islam dan antara menu jualan yang laris adalah som tam papaya, som tam kahwin, kerabu tanghoon, kerabu sotong, ayam panggang dan banyak lagi.

Katanya lagi, dalam sehari mereka mampu memperoleh pendapatan mencecah $1,000.

Dalam kesempatan itu, beliau turut menasihatkan para belia yang berusaha untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan supaya meneruskan usaha dan jangan putus asa agar mereka mencapai kejayaan yang diinginkan.

Ayam Panggang Tajau merupakan salah satu tarikan baru orang ramai.
Ayam Panggang Tajau merupakan salah satu tarikan baru orang ramai.
Pelbagai makanan yang dijual di Gerai Ramadan Belia.
Pelbagai makanan yang dijual di Gerai Ramadan Belia.

Manakala itu, bagi Awang Abdul Wadud Muhammad Wajeeh, 22, yang merupakan pelajar Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), berjual di gerai berkenaan merupakan kerja sampingan beliau untuk mengisi masa lapang semasa cuti persekolahannya.

Beliau yang merupakan salah seorang pekerja gerai Cendol Temburong Haji Saban bin Haji Yahya, menyatakan bahawa persiapan gerai telah bermula pada jam 12 tengah hari dan kemudian pergi ke tambing untuk mendapatkan cendol-cendol segar dari Temburong.

Peluang ini, jelasnya, adalah sangat baik bagi mengisi masa lapang dengan membuat kerja-kerja amal khususnya di bulan Ramadan yang mulia ini dan, menurutnya, beliau telah berkhidmat membantu perniagaan ini bermula pada tahun yang lepas.

Pemilik perniagaan Cendol Temburong, Awang Ali Hardi bin Haji Mohammad yang turut sempat ditemui melahirkan harapan agar para belia untuk mengisi masa lapang mereka dalam bidang perniagaan kerana ia merupakan peluang keemasan bagi belia muda untuk memulakan sesi perniagaan mereka sendiri dengan pengalaman yang ada di samping mencari pendapatan tersendiri.

Tambahnya lagi, perniagaan ini memang dipandang mulia dalam agama Islam dan Rasulullah S.A.W sendiri juga telah mengamalkan perniagaan sendiri sejak berumur 25 tahun.

ARTIKEL YANG SAMA