Geran FIFA disiasat

Geran FIFA disiasat

LONDON, 25 Jun (Reuters) – Pihak berkuasa Switzerland sedang menganalisa geran pembangunan yang dikeluarkan FIFA di seluruh dunia sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap skandal yang melanda badan induk itu.

Menurut sumber yang enggan namanya didedahkan, sebahagian siasatan itu termasuk penganugerahan hak penganjuran Piala Dunia 2018 di Russia dan Qatar, tahun 2022.

Katanya, secara khusus, penyiasat ketika ini sedang melihat bagaimana wang itu dibelanjakan dan sama ada terdapat sebarang pemalsuan dokumen.

Geran itu selalunya diberikan kepada persatuan bola sepak negara dan dikenal pasti sering dijelaskan bagi pembinaan padang bola sepak baharu dan kemudahan yang berkaitan atau untuk program-program latihan.

Penyiasat dari Switzerland ketika ini bekerjasama dengan penyiasat dari Amerika Syarikat (AS) terhadap pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan penipuan kepada sembilan bekas dan pegawai Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) serta lima eksekutif pemasaran dan penyiaran sukannya yang ditahan pada 27 Mei lalu.

Anggota media menunggu di depan ibu pejabat FIFA di Zurich, Switzerland 30 Mei lalu. Pihak berkuasa Switzerland sedang menganalisa geran FIFA di seluruh dunia sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap skandal yang melanda badan induk itu. – Reuters
Anggota media menunggu di depan ibu pejabat FIFA di Zurich, Switzerland 30 Mei lalu. Pihak berkuasa Switzerland sedang menganalisa geran FIFA di seluruh dunia sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap skandal yang melanda badan induk itu. – Reuters

Pakar teknologi maklumat daripada agensi polis persekutuan Switzerland, pendakwaraya dan pakar kewangan ketika ini sedang menganalisa pelbagai bukti yang dikumpulkan pejabat Peguam Negara negara itu, kata sumber itu lagi.

Antara bukti yang dikumpulkan ialah rekod dalaman, yang kebanyakannya dalam bentuk digital yang dirampas daripada ibu pejabat FIFA termasuk pejabat Presiden, Sepp Blatter; Setiausaha Agung, Jerome Valcke dan Ketua Pengurusan dan Kewangan, Markus Kattner.

Sumber itu mendedahkan ‘hampir semua barangan’ di pejabat Valcke dirampas. Blatter yang berdepan tekanan mengumumkan akan melepaskan jawatannya, awal bulan lalu selepas 17 tahun memimpin badan induk sukan itu.

Valcke dan Kattner begitupun tidak didakwa atas sebarang kesalahan salah laku oleh pihak berkuasa Switzerland dan AS.

Jurucakap FIFA menerusi satu e-mel yang dihantar kepada Reuters berkata mereka ‘memberi sepenuh kerjasama terhadap tindakan pihak berkuasa Switzerland’ namun tidak mengulas lanjut.

Sepanjang tempoh 1999-2014, FIFA yang dianggap antara badan sukan paling kaya dan berkuasa di dunia membelanjakan AS$2 billion untuk geran pembangunan dan membelanjakan AS$900 juta sepanjang 2015-2018.

Kebanyakan dana itu dikatakan disalurkan kepada persatuan negara dan kumpulan bola sepak antarabangsa di seluruh dunia.

Begitupun, negara kepulauan kecil di Pasifik dan Caribbean dikatakan menerima bantuan yang lebih untuk pembangunan programnya berbanding negara kuasa besar bola sepak seperti Jerman dan England.

Tindakan itu membawa kepada tuduhan daripada beberapa pegawai bola sepak antarabangsa yang mendakwa Blatter cuba meraih undi daripada negara-negara kecil terbabit.

Dalam sistem pengundian FIFA bagi pemilihan Presiden, negara kecil seperti Cook Island yang mempunyai populasi 10,000 penduduk mempunyai satu undi, jumlah undi sama dimiliki negara bola sepak, Brazil yang mempunyai penduduk lebih 200 juta.

ARTIKEL YANG SAMA