Gerbang KHEU, UNISSA terbaik

Gerbang KHEU, UNISSA terbaik

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Sept – Penyertaan pintu gerbang dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) menjuarai kategori masing-masing dalam Peraduan Pintu-pintu Gerbang Kawasan-kawasan, Jabatan-jabatan, Maktab-maktab dan Sekolah-sekolah Sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69.

KHEU muncul juara bagi kategori Kementerian-kementerian dan Jabatan-jabatan manakala gerbang KUPU SB menjuarai kategori Maktab-maktab dan Sekolah-sekolah.

Penyampaian hadiah dan sijil kepada para pemenang disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Pembangunan, Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah, di majlis yang berlangsung di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya, hari ini.

Peraduan yang diadakan setiap tahun itu, bermatlamat untuk memeriahkan dan menyemarakkan lagi suasana perayaan ulang tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan yang mana ia dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori Kementerian-kementerian dan Jabatan-jabatan serta Kategori Maktab-maktab dan Sekolah-sekolah termasuk institusi-institusi pengajian tinggi yang ada di Daerah Brunei dan Muara.

Haji Muhammad Lutfi menyampaikan hadiah kepada wakil Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
Haji Muhammad Lutfi menyampaikan hadiah kepada wakil Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
Wakil Kementerian Hal Ehwal Ugama menerima hadiah kemenangan daripada Haji Muhammad Lutfi.
Wakil Kementerian Hal Ehwal Ugama menerima hadiah kemenangan daripada Haji Muhammad Lutfi.

Bagi kategori pertama, tempat kedua disandang oleh Ibu Pejabat Polis Gadong dan Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri di tempat ketiga.

Manakala itu bagi kategori kedua, Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien memenangi tempat kedua dan Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam di tempat ketiga.

Bagi 2015, penyertaan dalam peraduan itu menggalakkan tetapi ada sikit penurunan berbanding tahun-tahun yang lalu. Tahun ini, sebanyak 10 penyertaan diterima bagi kategori pertama dan lima bagi kategori kedua.

Penghakiman bagi peraduan itu telah diadakan pada 19 Ogos lalu yang mana penghakiman adalah berdasarkan kepada enam kriteria iaitu reka bentuk pintu gerbang mengikut ciri-ciri yang ditetapkan, kesiapan pintu gerbang seperti yang telah ditetapkan, struktur pintu gerbang dari segi keselamatan dan penjimatan penggunaan tenaga elektrik, gubahan warna pintu gerbang dan susunan lampu cucul yang menarik, pandangan dan daya tarikan pada waktu siang serta pandangan dan daya tarikan pada waktu malam.

ARTIKEL YANG SAMA