Gergasi Bavaria mahu bangkit – Neuer

MUNICH, 12 Sept – Manuel Neuer (gambar) berkata Bayern Munich mahu bangkit daripada kekalahan mengejut dalam bundesliga apabila mereka melayan kunjungan Anderlecht dalam perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara, esok.

Bayern dimalukan 2-0 di Hoffenheim Sabtu lalu dan penyandang juara itu kini berada di tangga keenam Liga Jerman.

Gergasi Bavaria itu mahu menebusnya dengan persembahan lebih meyakinkan apabila berdepan juara Belgium 2016/17 itu.

“Kami mahu menampilkan diri kami dengan lebih baik dalam Liga Juara-Juara dan kami mahu memberikan persembahan berbeza berbanding ketika beraksi dengan Hoffenheim,” kata Neuer, kapten dan penjaga gol Bayern, dalam satu sidang media hari ini.

“Paling utama ialah kami mahu menguasai permainan dari mula dan menggerakkan bola dengan pantas. Sudah pasti, kami mahu mendahului a1-0 lebih awal, itu yang tidak berlaku ketika berdepan Hoffenheim.”

Pengurus Bayern, Carlo Ancelotti berkata pemain sayap Perancis Franck Ribery sedang bergelut mencari kecergasan selepas mengalami kecederaan ketika dimasukkan pada baki 12 minit ketika menentang Hoffenheim.

Pertahanan kebangsaan Jerman, Jerome Boateng juga dijangka boleh diturunkan buat pertama kali musim ini selepas mengalami kecederaan paha, manakala pertahanan sayap Juan Bernat dan David Alaba turut cedera, tatkala pemain tengah Arturo Vidal digantung.

Musim lalu, ketika Ancelotti membimbing pasukan itu buat kali pertama, Bayern tersingkir daripada Liga Juara-Juara di suku akhir ketika tewas di tempat sendiri dan gelanggang Real Madrid.

Kekalahan 2-1 di tempat sendiri kepada Real, sebelum tunduk 4-2 di gelanggang lawan itu, mengakhiri rekod 18 perlawanan tanpa kalah dalam saingan Liga Juara-Juara di Allianz Arena. Ia juga kali pertama sejak 2011 Bayern gagal melangkah ke separuh akhir.

“Kita boleh melakukan dengan lebih baik berbanding tahun lalu,” kata Ancelotti.

“Saya rasa pasukan ini lebih bertenaga dan pemain baharu berjaya meningkatkan kualiti dalam pasukan ini,” katanya merujuk kepada pemain tengah Corentin Tolisso dari Lyon, dan James Rodriguez, yang dipinjamkan dari Real Madrid.

“Kami masih belum mencapai tahap seperti separuh musim terakhir lalu, yang saa rasa amat bagus, tetapi kami boleh bangkit dan menjadi lebih baik.” – AFP