Gerrard dijangka ambil tugas pengurus

Gerrard dijangka ambil tugas pengurus

MILTON KEYNES, England, 18 Nov – Bekas skuad England dan kapten pasukan Liverpool, Steven Gerrard berkemungkinan besar akan mengendalikan pasukan pertamanya selaku pengurus.

Media British melaporkan kelab di divisyen ketiga, Milton Keynes Dons, bakal berbincang bersama Gerrard berhubung kekosongan jawatan pengurus pasukan terbabit.

Awal minggu lalu, pemain berusia 36 tahun itu mengumumkan dia akan meninggalkan LA Galaxy selepas dua musim beraksi bersama pasukan terbabit dan bakal membuat keputusan berhubung masa depannya namun tidak memberi bayangan sama ada mahu terus beraksi sebagai pemain.

MK Dons yang kini menduduki tangga ke-21 Liga Satu kini mencari pengurus baharu selepas tempoh kendalian enam tahun Karl Robinson berakhir Oktober lalu.

Pasukan terbabit dikenali dengan nama Wimbledon sebelum mengubah kedudukan daripada selatan London ke Milton Keynes yang terletak 97 kilometer ke utara London. Bagaimanapun, MK Dons enggan memberi komen terhadap khabar angin itu. – AP