Gerrard kembali ke Liverpool?

Gerrard kembali ke Liverpool?

LONDON, 4 Nov (Agensi) – Ia di luar dugaan peminatnya sendiri, tetapi Steven Gerrard mungkin kembali berlatih dengan Liverpool seawal minggu ini.

Malah, menurut akhbar The Independent, Gerrard, 35 tahun, yang menyertai Los Angeles Galaxy pada akhir musim lalu, boleh beraksi dalam jersi Liverpool.

Bagaimanapun, minggu lalu, Pesuruhjaya MLS Dan Garber berkata perpindahan pemain Major League Soccer (MLS) pada musim cuti, walau buat sementara, sesuatu yang ditentangnya.

Gerrard telah pulang ke London selepas musim Galaxy dalam MLS berakhir minggu lalu. Ia tersingkir daripada play-off selepas tewas kepada Seattle Sounders. Beliau dijangka pulang ke Los Angeles pada 15 Januari depan bagi menjalani latihan pramusim.

Menurut akhbar Guardian, pengurus baru Liverpool Juergen Klopp telah beberapa kali berbual dengan Gerrard – yang dianggap antara kapten Liverpool terbaik dalam sejarah – sejak beliau menjejak kaki ke Anfield bulan lalu.

Klopp dipercayai berminat mengundang Gerrard berlatih di pusat latihan Liverpool di Melwood kerana percaya pengaruhnya sebagai pemain profesional contoh boleh memanfaatkan pemain muda.Walau undangan Klopp untuk berlatih bersama sehingga Januari depan dijangka mudah diterima oleh Gerrard dan kelabnya, sebarang perjanjian pinjaman yang membolehkan Gerrard menyarung jersi Liverpool dijangka ditentang hebat.