Gerrard tinggalkan LA Galaxy

Gerrard tinggalkan LA Galaxy

LOS ANGELES, 16 Nov – Bekas pemain midfield England, Steven Gerrard meninggalkan pasukan dari Major League Soccer, LA Galaxy, kelab itu mengesahkan hari ini, tetapi dia menyatakan dia belum bersedia untuk bersara dari bermain.

“LA Galaxy hari ini mengumumkan pemain midfield, Steven Gerrard tidak akan kembali ke kelab bagi musim MLS 2017,” jelas kenyataan yang dikeluarkan oleh Galaxy.

“Pelepasan Gerrard dari LA berikutan kontraknya dalam Major League Soccer berakhir pada akhir tahun ini.”

Pemain itu, 36, menyertai Galaxy pada Julai 2015 berikutan pelepasannya dari Liverpool, di mana dia beraksi selama 17 tahun. Setelah sebelumnya digambarkan akan menamatkan aksinya di AS, dia menggambarkan dia sekarang akan bersama kelab lain sebelum menggantung but.

“Apabila saya meninggalkan Liverpool, saya datang ke Los Angeles dengan hasrat membantu Galaxy menjulang Piala MLS,” kata Gerrard, yang tersingkir dalam separuh akhir Western Conference bersama Galaxy kepada Colorado Rapids awal bulan ini.

“Saya sudah tentu kecewa tidak mencapai objektif tersebut, tetapi saya boleh melihat kembali masa saya di kelab itu dengan bangga terhadap apa yang kami capai, termasuk dua kemunculan dalam playoff berturut-turut dan kenangan yang banyak di atas padang.”

Dia menambah: “Saya sekarang bersedia untuk meluangkan masa bersama keluarga saya sambil mempertimbangkan peringkat selanjutnya.”

Gerrard menjaringkan lima gol dalam 34 kemunculan bagi Galaxy. Sementara dia akan terus bertugas sebagai pengulas televisyen bagi BT Sport di United Kingdom, ulasannya akan menarik minat kepada beberapa pelamar termasuk juara Scotland, Celtic. – AFP