Gerrard wira Liverpool

Gerrard wira Liverpool

LIVERPOOL, 3 Mei (AFP) – Kapten Liverpool, Steven Gerrard menebus kesilapan awal, gagal menyempurnakan sepakan penalti apabila menjaringkan gol kemenangan pasukan pada lewat babak permainan menewaskan Queens Park Rangers 2-1 di Anfield, Sabtu.

Pemain veteran berusia 34 tahun itu yang bakal menyertai kelab Los Angeles Galaxy akhir musim ini tampil menanduk masuk kemas hantaran sepakan sudut Philippe Coutinho pada minit ke-87 dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

“Kebanyakan pemain apabila gagal melakukan sepakan penalti, baki permainan mereka akan menurun dan keyakinan diri jadi hilang. Tetapi Gerrard sama sekali berbeza.

“Dia salah seorang daripada kelompok pemain unik yang apabila perlu untuk mereka memberi reaksi segera, mampu melakukannya,” kata Rodgers.

“Dia memiliki bakat berkelas dunia. Memang hanya terdapat sekelompok kecil pemain yang dalam perlawanan besar mampu menjaringkan gol penting dan memberi sumbangan besar. Itu yang dilakukan Gerrard sepanjang kariernya.”

Gerrard meraikan jaringan semasa menentang QPR di stadium Anfield dalam aksi Liga Perdana semalam. - Reuters
Gerrard meraikan jaringan semasa menentang QPR di stadium Anfield dalam aksi Liga Perdana semalam. – Reuters

Liverpool, pasukan tempat kelima bergerak empat mata di belakang Manchester United dengan baki tiga perlawanan. United, kekal pada posisi tempat keempat yang juga tiket terakhir ke Liga Juara-Juara, tetapi ada satu perlawanan dalam tangan.

QPR mendapat gol penyamaan menerusi Leroy Fer pada minit ke-73 untuk mengikis gol pendahuluan Coutinho tetapi pelawat bermain dengan bekalan 10 pemain selepas Nedum Onuoha dilayangkan kad merah 10 minit kemudian atas kesalahan menjatuhkan Jordon Ibe.

Dalam perlawanan lain, Aston Villa menghidupkan peluang kekal dalam liga elit selepas menewaskan Everton 3-2 manakala Sunderland juga ceria menewaskan Southampton 2-1 dengan dua gol hasil sepakan penalti.

ARTIKEL YANG SAMA