Gesa AS keluarkan industri minyak sawit daripada senarai

Gesa AS keluarkan industri minyak sawit daripada senarai

LOS ANGELES, 15 Okt – Malaysia membuat rayuan kepada Jabatan Buruh Amerika Syarikat (AS) untuk mengeluarkan minyak sawit negara daripada ‘Senarai Barangan Dihasilkan Menggunakan Buruh Kanak-Kanak atau Buruh Paksa’, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Antara kriteria yang digunakan jabatan itu untuk menilai buruh kanak-kanak atau buruh paksa ialah menyimpan pasport pekerja asing dan pembayaran gaji yang rendah, katanya.

“Kerajaan telah melaksanakan satu kajian bebas, meliputi 68 ladang di seluruh negara, dan ia menunjukkan kejadian sedemikian adalah kecil.

“Justeru, tidak adil untuk jabatan itu menyenaraikan industri minyak sawit Malaysia dengan yang lain,” katanya.

Uggah berkata demikian dalam ucaptamanya pada Forum Minyak dan Lelemak Dunia (GOFF) 2015, di sini pada Rabu.

Beliau juga berkata Malaysia telah melaksanakan struktur gaji minimum sejak Januari tahun ini dan kerajaan akan terus memastikan kebajikan pekerja asing dalam sektor perladangan dengan majikan tertakluk kepada peraturan dan undang-undang domestik.

Mengenai rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dimuktamadkan, Uggah yakin bahawa perdagangan minyak sawit dengan AS akan terus dipertingkatkan pada masa akan datang.

Beliau berharap pengguna AS akan meningkatkan penggunaan produk minyak sawit berikutan ia berkhasiat, sihat dan kompetitif dari segi harga.

“Manfaatnya terbukti melalui kajian oleh institusi penyelidikan bebas di luar negara dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Malaysia.

Beliau berkata pengamal minyak sawit Malaysia bersedia menyalurkan pengetahuan dan kepakaran kepada rakan-rakan di AS, dan pengguna lain di rantau ini.

Uggah mengetuai Misi Penggalakkan Minyak Sawit ke AS selama dua hari mulai 14 Okt. Delegasi beliau terdiri daripada wakil kementerian, MPOB, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan wakil sektor swasta, bertujuan mengukuhkan eksport minyak sawit ke AS, selain menggalakkan hubungan perniagaan antara sektor swasta di Malaysia dan rakan mereka di AS.

Penggiat industri minyak sawit Amerika Syarikat dan Malaysia juga digesa meneroka peluang dalam bidang sedia ada dan baharu sektor minyak sawit di negara itu. Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Datuk Lee Yeow Chor berkata, organisasi itu akan menawarkan bantuan terbaik bagi menangani keperluan khusus dalam mempertemukan pembeli serta penjual baharu dan meningkatkan lagi perdagangan minyak sawit di antara kedua-dua negara.

“Tahun lepas, AS mengimport 4.27 juta tan metrik minyak dan lemak, di mana minyak sawit membekalkan 1.19 juta tan metrik atau 28 peratus daripada jumlah keseluruhan, katanya.

Bercakap pada edisi kesembilan Forum Lemak dan Minyak Global (GOFF) AS di sini pada Rabu, Lee berkata rantau Amerika, terutama AS adalah pasaran penting minyak sawit Malaysia.

“Industri minyak sawit Malaysia sentiasa proaktif dan inovatif dalam pendekatan bagi menangani isu ini,” tambahnya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA