Gesa bantu pelarian Syria

AMMAN, Jordan, 11 Sept – Masyarakat dunia perlu berusaha dengan lebih lagi untuk membantu kanak-kanak pelarian Syria mendapatkan pendidikan, kata aktres Priyanka Chopra selepas berbual-bual dan bergurau dengan kanak-kanak pelarian di sebuah pusat selepas sekolah di bandar Jordan.

Individu-individu boleh membuat perbezaan dengan menghulurkan sumbangan derma jika kerajaan tidak meningkatkan usaha, kata Chopra, duta muhibah UNICEF dan bintang Bollywood dan Hollywood.

“Kita perlu bertindak sendiri kerana ini adalah dunia kita dan kita hanya memiliki satu-satunya,” Chopra memberitahu The Associated Press pada akhir hari pertamanya di Jordan.

“Saya berpendapat dunia perlu memahami bahawa ini bukan saja krisis pelarian Syria, ia adalah krisis kemanusiaan,” katanya dalam satu temu bual semalam.

Tanpa sokongan yang mencukupi, “ia boleh menjadikan keseluruhan generasi kanak-kanak terdedah kepada ekstremisme kerana mereka tidak memiliki pendidikan,” ujarnya lagi.

Duta Muhibah UNICEF, Priyanka Chopra, ketika mengalu-alukan wanita Syria dan anaknya di Pusat Makani UNICEF di Amman, Jordan pada 10 September. – AP

Kira-kira lima juta rakyat Syria telah melarikan diri dari perang saudara di tanah air mereka sejak tahun 2011, ramai yang menetap di kawasan berhampiran Jordan, Lubnan, Turki, Iraq dan Mesir.

Kemasukan itu amat membebankan negara-negara yang menerima mereka, termasuklah sekolah mereka.

Lebih setengah juta kanak-kanak pelarian Syria yang pada usia persekolahan – atau sepertiga dari jumlah itu – tidak mendaftar masuk ke sekolah atau menerima pendidikan tidak formal di negara-negara yang menerima mereka. Sementara itu, PBB dan agensi-agensi bantuan yang menyokong orang pelarian kerap berdepan jurang besar pembiayaan.

Semalam, Chopra, melawat pusat kanak-kanak yang disokong UNICEF di bandar Jordan, Amman. Agensi kebajikan kanak-kanak PBB membantu lebih 200 pusat seumpama itu yang digelar pusat ‘Makani’ – dalam bahasa Arab ‘ruang saya’ – di Jordan, berserta dengan program pendidikan orang pelarian yang lain.

Di pusat itu, budak-budak perempuan dan lelaki yang berusia di bawah remaja duduk di meja rendah atau di tanah, sedang mewarna atau melekatkan perada yang bersinar-sinar pada kertas. Hanya beberapa orang kanak-kanak mengenali siapa dia, tetapi dengan mudah mesra dengannya. – AP