Gesa haramkan sukan tinju

Gesa haramkan sukan tinju

MELBOURNE, 15 Sept (Reuters) – Pihak berkuasa perubatan Australia meminta pengharaman dikenakan ke atas sukan tinju selepas seorang petinju tempatan meninggal dunia di hospital hari ini, empat hari selepas ditewaskan dalam satu pertarungan kejuaraan serantau.

David Browne Jr dikalahkan oleh satu tumbukan daripada petinju Filipina, Carlo Magali dalam pertarungan super featherweight di Sydney pada Jumaat lepas.

Bapa kepada dua anak dan berusia 28 tahun itu pada mulanya sedar tetapi pengsan selepas itu dan dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal.

Browne masih dalam koma sehingga keluarganya membuat keputusan untuk mematikan mesin bantuan pernafasan hari ini, lapor media negeri.

Browne adalah petinju Australia kedua yang meninggal dunia dalam enam bulan.

Braydon Smith, pelajar undang-undang berusia 23 tahun, meninggal dunia pada Mac akibat kecederaan yang dialami dalam kekalahan pertarungan kejuaraan featherweight kepada petinju Filipina, John Moralde di Queensland.

Naib Presiden Persatuan Perubatan Australia (AMA) Stephen Parnis berkata orang perlu “memikirkan dua kali” mengenai penyertaan dalam sukan tersebut.

“Saya tahu mereka tidak mahu kejadian ini berlaku tetapi cara tinju diadakan, akan timbulnya masa di mana seseorang akan mengalami perdarahan atau mengalami kerosakan otak dan mereka sama ada akan kehilangan nyawa mereka atau berakhir dengan kerosakan otak,” beritahu Parnis kepada penyiar negara ABC.

“Itulah sebabnya kenapa AMA fikir kami tidak boleh meneruskannya.”

Pengatur sukan lawan telah diminta untuk mengulas mengenai acara itu, kata ABC. Polis juga menyiasat tetapi tidak dijangka mengenakan dakwaan.

ARTIKEL YANG SAMA