Gesa perkenal prosedur yang lebih jelas

Gesa perkenal prosedur yang lebih jelas

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan disarankan untuk memperkenalkan prosedur penganugerahan projek yang lebih telus, mewujudkan meja bantu (helpdesk) bagi menangani masalah pembayaran lewat kepada pihak yang menuntut dan menyediakan garis pandu terkini mengenai proses pembayaran pihak kerajaan kepada para kontraktor.

Saranan ini adalah antara beberapa cadangan yang dibangkitkan pada Sesi Perbincangan Kumpulan Sasaran Darussalam Enterprise (DARe) yang berlangsung di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa, hari ini.

Turut mendapat perhatian kira-kira 40 orang perwakilan sektor swasta ialah cadangan Kementerian Kewangan untuk mengadakan klinik bagi menerangkan prosedur pembayaran baru kepada sektor PKS dan cadangan supaya syarat–syarat yang terkandung dalam Surat Penganugerahan Projek (LOA) merangkumi syarat yang mewajibkan Pesanan Belian (PO) diperoleh terlebih dahulu sebelum pihak tertentu boleh membuat tuntutan pembayaran dari Kementerian Kewangan.

Hadir untuk menjawab pertanyaan wakil sektor pembinaan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan pada sesi bertajuk ‘Kelewatan Membuat Pembayaran’ itu ialah Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Awang Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny, Setiausaha Tetap (Perindustrian) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Adi Shamsul bin Haji Sabli dan Setiausaha Tetap (Prestasi) di Kementerian Kewangan, Awang Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman yang juga Pemangku Jurukira Agung.

Ketika menjawab mengenai ketelusan Kementerian Kewangan dalam proses pembayaran projek kerajaan, Awang Ahmaddin berkata, Pusat Bantuan Perniagaan (BSC) yang bakal dirasmikan pada April 2016 akan berperanan untuk membantu dalam proses dan prosedur yang sering menjadi masalah kepada sektor swasta.

“Sebagai permulaan, sebarang kemusykilan mengenai prosedur pembayaran daripada pihak kerajaan perlulah dihadapkan ke BSC supaya pusat ini dapat membuat susulan ke jabatan-jabatan lain yang berkaitan,” kata Awang Ahmaddin.

Beliau menekankan, BSC tidak hanya ditubuhkan untuk menangani masalah pembayaran lewat atau ketiadaan peruntukan kerajaan, malah pusat yang akan dibuka lima hari seminggu itu juga mengendalikan sebarang aduan dan masalah yang dihadapi oleh semua sektor.

Salah seorang pengusaha PKS, Haji Mohd Saufi menimbulkan persoalan mengenai garis panduan dan prosedur kementerian, mengemukakan pertanyaan sama ada pihak Kementerian Kewangan berusaha mengumumkan mengenai garis panduan dan prosedur yang mereka rumuskan itu kepada sektor PKS.

Menjawab pertanyaan dan cadangan beliau itu, Awang Ahmaddin berkata, Kementerian Kewangan menyambut baik cadangan itu dan akan mengadakan klinik bagi PKS untuk menerangkan dengan lebih jelas mengenai prosedur pembayaran dan mengapa sesetengah proses pembayaran kepada kontraktor dihentikan atau memakan masa yang lama untuk diselesaikan.

Sementara itu, salah seorang wakil syarikat kontraktor kerajaan, menjelaskan amalan yang diguna pakai selama ini ialah apabila sesebuah kontraktor menerima LOA daripada pihak kerajaan, surat penganugerahan itu sudah mengesahkan bahawa syarikat terbabit telah pun dianugerahkan secara sah melalui proses tender, sesuatu projek oleh pihak kerajaan.

Beliau seterusnya mencadangkan supaya syarat-syarat untuk mewajibkan seseorang kontraktor itu memperoleh PO bagi membolehkan pembayaran dibuat, digabungkan sebagai satu klausa dalam syarat penganugerahan kontrak kerajaan.

Beliau mencadangkan tidak hanya Kementerian Pembangunan, malah semua kementerian yang mengeluarkan tender untuk projek pembinaan, pembekalan atau sebarang tender yang melibatkan pihak swasta supaya memasukkan syarat mendapatkan PO sebagai syarat penting dalam klausa syarat dan peraturan pengeluaran tender dan pelaksanaan projek daripada pihak kerajaan.

Mengambil kira respons yang diberikan oleh hadirin, Awang Ahmaddin juga berharap agar Kementerian Kewangan dapat mengadakan sesi dialog terbuka yang khusus bagi sektor pembinaan memandangkan banyak persoalan ditimbulkan oleh wakil kontraktor dari sektor pembinaan.

ARTIKEL YANG SAMA