Gesa rampas aset gengster, pengganas

Gesa rampas aset gengster, pengganas

NEW DELHI, 24 Mei (Agensi) – India mahu Pakistan merampas aset ketua gengster Dawood Ibrahim dan pengganas paling dikehendaki Hafiz Saeed dan Zakiur Rehman Lakhvi, kerana ketiga-tiga mereka termasuk dalam senarai sekatan Jawatankuasa Sekatan al-Qaeda dan Taliban Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) yang sekali gus menyebabkan Islamabad wajib membekukan aset milik mereka.

UNSC sudah pun menyenaraikan Dawood, pengasas Lashkar-e-Taiba Saeed dan dalang utama serangan pengganas di Mumbai, Lakhvi serta melaksanakan sekatan ke atas mereka. “Sebagai salah sebuah negara anggota PBB, adalah menjadi tanggungjawab Pakistan untuk membekukan aset mereka.

“Justeru kami merancang untuk menghantar surat rasmi kepada Pakistan supaya memaklumkan kami sama ada aset ketiga-tiga mereka sudah dirampas dan jika tidak akan meminta supaya dibekukan mereka dengan segera,” menurut seorang pegawai kerajaan.

Jawatankuasa itu, yang ditubuhkan selaras dengan resolusi 1267 (1999) Majlis Keselamatan PBB, adalah organ subsidiari UNSC yang mengawasi pelaksanaan oleh negara-negara anggota ke atas tiga langkah sekatan – pembekuan aset, pengharaman perjalanan dan embargo persenjataan – dilaksanakan ke atas sasaran individu dan entiti yang bersekutu dengan al-Qaeda, seperti yang ditetapkan Jawatankuasa itu dalam senarai sekatannya.

India tetap dengan pendiriannya bahawa tertuduh utama serangan pengganas di Mumbai pada 1993, Dawood kini berada di Pakistan, meskipun Islamabad menafikan dengan sekeras-kerasnya.

Saeed kini hidup bebas di Pakistan sementara Lakhvi, dibebaskan dari penjara Rawalpindi pada April 2015, dan pada masa ini menetap di negara tersebut.

Dawood dimasukkan dalam senarai sekatan UNSC pada 2003 manakala Saeed dan Lakhvi pula pada 2008.

ARTIKEL YANG SAMA