Gesa tingkat kolaborasi ASEAN

Gesa tingkat kolaborasi ASEAN

VIENTIANE, Laos, 7 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menyuarakan kepentingan untuk mengukuhkan dan memperluaskan kerjasama dan kolaborasi di antara ASEAN dan negara-negara Campur Tiga (terdiri daripada Republik Rakyat China, Jepun, dan Republik Korea) iaitu di bidang-bidang perdagangan dan pelaburan, jalinan pertalian antara rakyat, dan saling-hubungan.

Baginda juga menyuarakan potensi untuk meningkatkan dan memudahcara perdagangan dan pelaburan serta menyediakan lebih banyak peluang kepada masyarakat peniaga.

Dalam titah Baginda pada Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga ke-19 yang berlangsung di Pusat Persidangan Kebangsaan, Vientiane hari ini, Baginda turut mengalu-alukan usaha-usaha bagi meningkatkan kolaborasi di antara ketiga-tiga Pusat ASEAN di Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea, dan mengharapkan pembangunan kapasiti yang lebih besar serta menyediakan lebih banyak peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Sidang kemuncak tersebut yang berlangsung petang ini turut dihadiri ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN serta Presiden Republik Korea Park Geun-hye, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan Perdana Menteri China, Li Keqiang.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam titah Baginda turut menekankan kepentingan jalinan di antara rakyat untuk membangunkan lagi pertalian pendidikan, pertukaran budaya yang lebih meluas dan peningkatan pelancongan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan bergambar ramai bersama pemimpin-pemimpin ASEAN +3 pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 di Vientiane. - Bernama
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan bergambar ramai bersama pemimpin-pemimpin ASEAN +3 pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 di Vientiane. – Bernama

pg01_160908_logo-asean-summit

Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama Presiden Amerika Syarikat Barack Obama semasa berangkat ke Majlis Makan Malam Gala sempena Sidang-sidang Kemuncak ASEAN ke-28 dan ke-29 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan di Vientiane, malam tadi. – AFP
Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama Presiden Amerika Syarikat Barack Obama semasa berangkat ke Majlis Makan Malam Gala sempena Sidang-sidang Kemuncak ASEAN ke-28 dan ke-29 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan di Vientiane, malam tadi. – AFP

Baginda juga menyuarakan kepentingan untuk menggalakkan saling-hubungan lebih luas di antara ASEAN dan negara-negara Campur Tiga, dan mengalu-alukan inisiatif-inisiatif yang menjurus kepada merapatkan jurang pembiayaan prasarana, bagi membantu mengukuhkan lagi perhubungan dan membawa kepada peningkatan pertumbuhan.

Terdahulu pada sebelah pagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat menghadiri Sesi Retreat Sidang Kemuncak ASEAN ke-29; Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-19 bagi Memperingati Ulang Tahun ke-25 Hubungan Dialog ASEAN-China; dan Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-19.

Sesi retreat tersebut dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Laos dan Pengerusi ASEAN, Thongloun Sisoulith, bagi mengalu-alukan kehadiran ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN ke sesi retreat tersebut.

Semasa sesi retreat itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan para pemimpin ASEAN yang lain telah membincangkan isu-isu kerjasama serta bertukar-tukar pandangan tentang isu-isu serantau dan antarabangsa.

Sidang Kemuncak ASEAN-China Ke-19

Selepas sesi retreat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-19 bagi Memperingati Ulang Tahun ke-25 Hubungan Dialog ASEAN-China. Sebelum sidang kemuncak tersebut bermula, Baginda Sultan berkenan bergambar ramai bersama para pemimpin yang lain.

Sidang Kemuncak ASEAN-China dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Perdana Menteri Laos Thongloun Sisoulith bagi mengalu-alukan kehadiran ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN dan Republik Rakyat China ke sidang kemuncak tersebut. Ini diikuti dengan kenyataan daripada Perdana Menteri China, Li Keqiang.

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, selaku Negara Penyelaras bagi Hubungan ASEAN-China.

Semasa sidang kemuncak itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah yang antara lain menyuarakan mengenai kepentingan kerjasama dan kolaborasi di antara ASEAN dan China bagi mencapai sasaran perdagangan dan pelaburan pada tahun 2020.

Baginda memetik contoh inisiatif-inisiatif seperti ‘One Belt, One Road’ dan Bank Pelaburan Prasarana Asian (Asian Infrastructure Investment Bank), telah membantu ASEAN membangun dan mempertingkatkan saling-hubungan.

Tentang Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China, Baginda menyarankan bagi melihat kepada pelbagai cara untuk memanfaatkan lagi perjanjian tersebut, dan dengan adanya Tahun Kerjasama Pelancongan ASEAN-China pada tahun hadapan, peluang-peluang ekonomi baru dapat dipelopori.

Selain itu, Kenyataan Bersama tentang Kerjasama Kapasiti Pengeluaran akan menggalakkan lagi penglibatan sektor swasta.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menekankan berbagai-bagai cara untuk mendalami lagi kerjasama dan kolaborasi.

Pertama, dengan menangani isu-isu persekitaran termasuk perubahan iklim dan usaha bagi merealisasikan komitmen-komitmen Perjanjian Paris (Paris Accord).

Kedua, menggalakkan perkongsian maklumat dan risikan antara agensi-agensi yang berkenaan, pada meningkatnya cabaran-cabaran keselamatan merentas sempadan termasuk pengganasan.

Ketiga, untuk terus menggalakkan jalinan pertukaran di antara rakyat. Dalam hal ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia memuji usaha-usaha Republik Rakyat China dalam meningkatkan pertukaran pendidikan, terutama semasa Tahun Pertukaran Pendidikan ASEAN-China pada tahun ini.

Negara Brunei Darussalam berasa amat gembira di atas penghormatan sebagai ‘Country of Honour’ pada ekspo tahun hadapan yang akan diadakan di Nanning, China.

Bagi mengakhiri titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyatakan bahawa Tahun 2016 merupakan ulang tahun ke-25 hubungan Brunei-China. Dengan persahabatan dan kerjasama yang berterusan, Baginda percaya bahawa perkongsian strategik dua hala dan serantau akan terus dipertingkatkan.

Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-19

Selesai Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-19 bagi Memperingati Ulang Tahun ke-25 Hubungan Dialog ASEAN-China, Baginda Sultan seterusnya berkenan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-19.

Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Perdana Menteri Thongloun Sisoulith bagi mengalu-alukan kehadiran ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN dan Jepun ke sidang kemuncak tersebut. Ini diikuti dengan ucapan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe.

Perdana Menteri Thongloun Sisoulith seterusnya mengalu-alukan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, selaku Negara Penyelaras bagi Hubungan ASEAN-Jepun untuk mengurniakan titah.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia menghargai sokongan Jepun kepada pembangunan komuniti ASEAN dan merapatkan jurang pembangunan melalui Dana Integrasi ASEAN (ASEAN Integration Fund).

Dalam hal ini, ASEAN berharap untuk meneroka lebih banyak projek-projek yang mempunyai potensi yang akan menambah nilai kepada kerjasama kesalinghubungan yang sedia ada.

Dalam bidang kerjasama yang akan diperkukuhkan, Baginda menekankan kerjasama ekonomi melalui perjanjian kerjasama ekonomi dan peta-jalan kerjasama 10-tahun, serta mencapai pembangunan mapan melalui pembangunan kapasiti dan kolaborasi akademia.

Baginda menyedari kepentingan peranan Pusat ASEAN-Jepun dalam menggalakkan dan memudahcara perdagangan, pelaburan dan pelancongan di antara ASEAN dan Jepun, dan menghargai sokongan ERIA ke arah strategi-strategi integrasi ASEAN.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menekankan kerjasama di dalam jalinan pertukaran di antara rakyat dan pertukaran budaya, bagi memupuk persefahaman dan kepercayaan serta mengukuhkan lagi ikatan persahabatan di antara ASEAN dan Jepun.

Di akhir titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyuarakan pentingnya kerjasama dalam memerangi keganasan dan jenayah merentas sempadan.

Dalam hal ini, Baginda melahirkan harapan supaya para pegawai dapat bekerja rapat bagi melaksanakan dengan berkesan aktiviti-aktiviti di bawah Perancangan Kerja Memerangi Keganasan dan Jenayah Merentas Sempadan.

Selesai Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-19, Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berangkat menghadiri Majlis Santap Tengah Hari yang dihoskan oleh Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Laos bagi mengalu-alukan kehadiran ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN ke Sidang-sidang Kemuncak ASEAN ke-28 dan ke-29 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan.

ARTIKEL YANG SAMA