Gesa Trump mohon maaf kepada wanita Islam

Gesa Trump mohon maaf kepada wanita Islam

WASHINGTON, 10 Jan (Reuters) – Sebuah kumpulan sokongan Islam semalam menggesa calon presiden Republikan AS Donald Trump supaya memohon maaf selepas seorang wanita Islam yang terlibat dalam bantahan senyap diusir oleh kakitangan keselamatan dan diejek oleh orang ramai pada rapatnya di South Carolina pada malam Jumaat lalu.

“Imej seorang wanita Islam dianiaya dan diusir dari rapat politik telah memberi mesej dingin kepada orang Islam Amerika dan kepada semua yang menilai kepelbagaian tradisi dan keagamaan dan juga penglibatan sivik negara kita,” kata Nihad Awad, pengarah eksekutif Majlis Hubungan Islam-Amerika (CAIR).

Gabenor Ohio John Kasich, calon presiden Republikan berkata respons orang ramai kepada rapat Trump di Rock Hill, South Carolina adalah tidak sesuai.

“Kami tidak perlu menjerit dan mengejek dan menakutkan seseorang yang ingin menyatakan pendapat dan membuat bantahan senyap,” Kasich memberitahu para pemberita ketika menghadiri mesyuarat kemiskinan di South Carolina semalam.

“Kita bukan di sekolah tinggi. Maksud saya, ini bukanlah permainan bola keranjang sekolah tinggi yang mana kita mengejek pasukan lain.”

CNN melaporkan Rose Hamid, seorang pramugari berusia 56 tahun, berdiri dari tempat duduk di belakang Trump apabila dia mengatakan orang pelarian Syria yang lari dari keganasan di tanah air mereka bergabung dengan militan-militan Islam IS.

Rose Hamid mengenakan tudung putih dan baju kemeja biru yang dihiasi “Salam, saya datang dengan damai.”

“Donald Trump seharusnya mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kepada wanita Islam itu yang diusir dari rapatnya dan membuat kenyataan jelas bahawa orang Islam Amerika disambut sebagai rakan senegara dan sebagai peserta-peserta proses politik negara,” kata Awad.

Kejadian itu adalah kontroversi terbaru melibatkan Trump berkaitan orang Islam. Bulan lalu Trump menyokong tegahan ke atas semua orang Islam warga asing dari memasuki AS “sehingga wakil negara kita boleh memahami apa yang sedang berlaku.”

Pada bulan November dia berkata dia telah menyaksikan beribu-ribu orang Islam di Jersey City, New Jersey bersorak ekoran kejadian 11 September 2001, serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia New York.

Peneliti fakta telah memaparkan kepalsuan kenyataan tegas itu.