Gesaan percepatkan kemerdekaan Palestin

JAKARTA, 14 Nov – Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) berharap di bawah kepemimpinan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, pertubuhan itu akan menyumbang lebih banyak untuk Palestin mencapai kemerdekaannya, lapor agensi berita Indonesia, Antara.

“Saya faham untuk Palestin mencapai kemerdekaan sepenuhnya bukan mudah, tetapi saya berharap terdapatnya kemajuan ketara dalam isu berkenaan,” kata Jokowi semasa berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-PBB Kesembilan di Manila, Isnin.

Indonesia akan terus membantu Palestin merealisasikan impian untuk menjadi sebuah negara yang merdeka, kata Jokowi dalam satu kenyataan dikemukakan oleh timbalan protokol, akhbar dan media sekretariat Presiden, Bey Machmudin.

Pada masa sama, Jokowi menggesa ASEAN dan PBB untuk mengukuhkan lagi kerjasama yang telah wujud selama ini.

“ASEAN dan PBB mempunyai misi dan agenda yang sama. Sinergi kita harus terus diperkuatkan,” katanya.

Kedua-dua pihak berkongsi misi dan agenda yang sama untuk menangani beberapa isu global antara lain dengan memperkukuhkan perkongsian untuk keamanan dunia.

“Sebagai antara penyumbang terbesar kepada Misi Pengaman PBB, Indonesia berharap masalah birokrasi akan dipertingkatkan dan wakil negara penyumbang utama diberikan perhatian,” katanya.

Sementara itu, di luar Sidang Kemuncak ASEAN-PBB, Presiden Jokowi dan António Guterres turut mengadakan pertemuan dua hala pada Isnin.

Pada pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin berkongsi dan bertukar-tukar pandangan mengenai penyelesaian kepada krisis di Rakhine, Myanmar.

Guterres, memulakan tugas sebagai setiausaha agung PBB kesembilan pada Januari 2017.Sebelum menyertai UNHCR, Guterres berkhidmat selama 20 tahun dalam perkhidmatan kerajaan dan awam serta pernah menjadi Perdana Menteri Portugal dari tahun 1995 hingga 2002. – Bernama