GHK lancar dua model terbaru

GHK lancar dua model terbaru

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 April – Pengedar tunggal kereta Mitshubishi, GHK Motors bakal melancarkan model terbaru Mitsubishi Pajero Sport 2016 dan Mitsubishi L200 pada 2 April di The Mall, Gadong.

Eksekutif Pemasarannya, Matthew Low menerangkan mengenai ciri-ciri dua buah kereta itu pada majlis pengenalan di Bilik Pameran GHK Motors, Beribi hari ini.

Menurutnya, generasi ketiga Pajero Sport 2016 tampil lebih segar, dipertingkatkan binaan kejuruteraannya, lebih berprestasi enjinnya dan sistem keselamatan pula lebih mantap.

Rekaan Dynamic Shield di bahagian depan menampilkan gril menarik berwarna krom, lampu LED dan rekaan bampar baru, ia tampak lebih menawan, selain dilengkapi dengan skrin sesentuh di bahagian papan pemuka, soket USB, kawalan audio di stereng dan hanya menekan punat untuk menghidupkan enjin.

Pajero Sport ini dikuasakan dengan enjin 2.4L MIVEC Turbo Diesel dengan transmisi lapan kelajuan automatik. Pemanduan Super-Select 4WD-II dengan mod off-road dan kawalan Hill Descent memudahkan lagi pemandu.

Manakala dari segi keselamatannya pula, ia semakin mantap kerana mempunyai tujuh beg udara, sistem pengesan titik buta, Hill Start Assist, Hill Descent Control, sensor hujan, ABS, EBD, kamera undur dan sensor serta struktur rangka di bawah Reinforced Impact Safety Evolution (RISE).

Manakala sebuah lagi keluaran Mitsubishi, L200 juga tidak kurang hebatnya kerana diubahsuai di bahagian hadapan yang hampir sama dengan Pajero Sport.

Walau bagaimanapun, pengubahsuaian dari segi suspensi kereta membolehkan kereta tersebut dipandu dengan lebih selesa dalam keadaan stabil.

Kereta ini turut dimuatkan dengan transmisi lima kelajuan manual dengan model pilihan mudah 2WD-4WD dan muatan berat kargo sehingga 1.05 tan.

Ia juga didatangkan dengan rim aloi 16 inci, skrin sesentuh, fungsi kawalan melalui stereng, Bluetooth dan tempat duduk fabrik berkualiti.

Pelanggan yang membuat tempahan awal membeli kereta tersebut ketika promosi dijalankan sehingga 3 April ini akan menerima baucar membeli belah bernilai $500.

ARTIKEL YANG SAMA