GHK wakili negara sertai kejohanan bola keranjang veteran

GHK wakili negara sertai kejohanan bola keranjang veteran

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Pasukan Bola Keranjang GHK Motors yang terdiri daripada para pemain veteran dari Persatuan Bola Keranjang Brunei (BBA) akan mewakili negara serta beraksi dalam Kejohanan Bola Keranjang Emas Jemputan Asia 2016 yang akan berlangsung di Klang, Malaysia bermula dari 14 hingga 16 Januari nanti.

Sehubungan itu, majlis penyerahan jersi bagi pasukan berkenaan telah diadakan di Gelanggang Bola Keranjang BBA, Batu Bersurat, hari ini, yang diserahkan oleh Pengarah GHK Motors Sdn Bhd, Jake Goh kepada ahli pasukan dan Timbalan Pengerusi BBA, Khoo Eng Cheong.

Pasukan GHK Motors yang dibarisi oleh pemain-pemain veteran berpengalaman itu akan mengambil bahagian dalam Kategori Umur 40 tahun ke atas yang dibimbing oleh jurulatih berpengalaman, Wong Yee Chai.

Jake Goh menyerahkan tajaan jersi kepada Khoo Eng Cheong.
Jake Goh menyerahkan tajaan jersi kepada Khoo Eng Cheong.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Persatuan Penduduk Pandamaran P/Klang disertai oleh pasukan-pasukan bola keranjang jemputan dari Negara Brunei Darussalam, Thailand, Indonesia, Hong Kong, Filipina dan Singapura.

Dalam kategori itu, Pasukan GHK Motors akan berdepan dengan empat pasukan jemputan dari Malaysia yang diwakili oleh Pasukan Pandamaran Hextar, Indonesia diwakili oleh Pasukan Aldino, Medan diwakili oleh pasukan Cemara Asri dan sebuah pasukan dari China.

Sebagai persediaan awal, Pasukan GHK Motors turut mengadakan perlawanan persahabatan dengan Pasukan Fuzhou Shiyi.